Israel lulus penempatan baharu sebelum pilihan raya


Pentadbiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam bersetuju menjadikan penempatan Mevoot Yericho di Lembah Jordan sebagai penempatan rasmi. – Gambar AFP, 16 September, 2019.

KERAJAAN Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam meluluskan penempatan baharu di Tebing Barat, dua hari menjelang pilihan raya diadakan.

Ia sebagai usaha Netanyahu untuk menarik lebih ramai pengundi yang bersaing dengan pencabar utamanya, Benny Gantz. Ia juga sebagai usaha untuk meneruskan pemerintahannya lantas menjadi perdana menteri Israel yang paling lama berkhdimat.

Pejabat Netanyahu semalam berkata Kabinet bersetuju menjadikan penempatan Mevoot Yericho di Lembah Jordan sebagai penempatan rasmi.

“Kerajaan meluluskan usul perdana menteri untuk membina Mevoot Yericho,” menurut kenyataan pejabat Netanyahu.

Kira-kira 30 buah keluarga tinggal di penempatan itu sejak 1999.

Peneroka Israel sering mendirikan rumah-rumah karavan di kawasan sekitar Tebing Barat dengan harapan diberi kelulusan oleh kerajaan sebagai penempatan.

Kelulusan terbaharu semalam dibuat selepas Netanyahu pada minggu lalu berikrar untuk mengilhak (annex) Lembah Jordan yang merangkumi satu pertiga Tebing Barat sekiranya beliau menang dalam pilihan raya yang dijadualkan pada esok.

Jurucakap kepada Presiden Palestin Mahmud Abbas, Nabil Abu Rudeineh menyelar keputusan mesyuarat itu dan menyeru masyarakat antarabangsa menghentikan segala kegilaan Israel. – AFP, 16 September, 2019.


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen