SYARIKAT raksasa Saudi, Aramco kini sedang berhempas pulas meyakinkan pasaran selepas serangan dahsyat ke atas dua loji minyak miliknya, apabila risiko penutupan dua loji itu dalam jangka panjang menimbulkan keraguan terhadap keyakinan pelabur saham mega syarikat milik negara itu, kata penganalisis.
Serangan dron di Abqaiq - kemudahan pemprosesan minyak terbesar di dunia - dan Khurais di timur Arab Saudi, memberi kesan kepada hampir separuh daripada pengeluaran minyak mentah dunia di samping turut mendedahkan kelemahan infrastrukturnya.
Walaupun pemberontak Yaman yang didukung Tehran mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan pada hari Sabtu, Washington menyalahkan Iran bagi serangan yang disifatkan sebagai “serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap bekalan tenaga dunia”.
Kejadian ini merupakan cabaran besar bagi menteri tenaga baharu dilantik, Putera Abdulaziz bin Salman - abang kepada putera mahkota - kerana serangan itu boleh melemahkan keyakinan pelabur dalam dua peringkat saham Aramco yang akan diuar-uarkan.
Serangan itu memberi kesan terhadap enam peratus daripada bekalan minyak global, yang akan menyebabkan kenaikan harga apabila pasaran dibuka semula pada hari Isnin walaupun Aramco berkata ia akan memanfaatkan stok simpanannya untuk mengimbangi gangguan tersebut.
“Jika mereka boleh mendapatkan pengeluaran semula secara cepat - atau sekurang-kurangnya memberi jaminan kepada pasaran, anda mungkin tidak melihat kenaikan harga yang besar,” tulis Rapier untuk majalah Forbes dalam talian.
Namun, sejauh mana kerosakan di loji-loji itu dan berapa lama ia akan dibetulkan masih tidak dapat dilaporkan dengan jelas.
Hal ini menyebabkan para penganalisis memberi amaran bahawa ketiadaan maklumat akan menimbulkan spekulasi dagangan.
Lebih membimbangkan, kata penganalisis, Saudi yang terkenal cenderung berahsia, tidak membenarkan wartawan menghampiri kawasan loji di mana kawalan keselamatan telah diperketat sejak serangan. – 15 September, 2019.
Komen