RIBUAN warga Syria kembali ke kampung halaman mereka di barat laut Syria selepas tentera kerajaan berjaya tumpaskan kumpulan jihadis dan pemberontak bersekutu, lapor media negara itu.
“Ribuan warga kembali ke desa-desa dan bandar-bandar di kawasan pedalaman Hama utara dan kawasan selatan Idlib,” kata agensi berita SANA.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria pula melaporkan “kira-kira 3,000 orang” pulang ke kawasan yang berada di bawah kawalan rejim.
Sejak 31 Ogos, gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera rejim yang disokong Rusia telah dilancarkan di barat laut Syria, bagaimanapun badan pemantau melaporkan masih wujud beberapa pengeboman di wilayah tersebut.
SANA berkata kepulangan warga itu bermula selepas “usaha kerajaan mengembalikan penduduk ke bandar dan kampung mereka”.
Wilayah Idlib yang memiliki penduduk kira-kira tiga juta orang, menyaksikan penduduknya bertebaran ke kawasan lain selepas perang saudara tercetus di negara itu. Kawasan itu juga menjadi pertahanan terakhir pasukan penentang Presiden Syria Bashar al-Assad.
Moscow mengumumkan gencatan senjata pada akhir bulan lalu selepas empat bulan pertempuran maut berlangsung sehingga menyebabkan 400,000 orang terpaksa meninggalkan kampung halaman, kebanyakannya melarikan diri ke utara yang dikawal kumpulan jihadis, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Rejim Assad kini menguasai lebih daripada 60 peratus negara itu selepas mencatatkan satu siri kemenangan terhadap pemberontak dengan sokongan Rusia sejak 2015. – AFP, 15 September, 2019.
Komen