Kita akan pertimbang jika Azmin mohon sertai Bersatu, kata Dr Mahathir 


Timothy Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 September Ogos, 2019.

DR Mahathir Mohamad menolak spekulasi bahawa Mohamed Azmin Ali akan menyertai partinya Bersatu selepas dilihat hadir pada sambutan ulang tahun ketiga penubuhan parti itu minggu lalu.

Pengerusi Bersatu berkata, timbalan presiden PKR itu tidak membuat sebarang permohonan untuk menyertai parti Melayu itu.

“Dia pun tak ada buat application (permohonan), kalau dia buat application, kita timbanglah,” kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas menghadiri Kejohanan The Putrajaya Boat Race di Putrajaya hari ini.

Kehadiran Azmin mencetuskan spekulasi selepas beliau gagal hadir pada mesyuarat pimpinan pusat PKR namun boleh hadir pada sambutan ulang tahun Bersatu itu.

Hubungan antara menteri hal ehwal ekonomi dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim tegang sejak pemilihan parti itu tahun lalu.

Dr Mahathir berkata kehadiran Azmin pada majlis Bersatu bukan suatu perkara yang luar biasa kerana hemputan dihantar kepada semua pemimpin kanan Pakatan Harapan dan PKR.

“Kami jemput semua pemimpin terkemuka. Xavier datang, ramai orang datang,” katanya merujuk kepada Naib Presiden PKR dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. – 15 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen