KEBAKARAN hutan berhampiran Athen memaksa lebih 160 anggota bomba dikerahkan untuk menjalankan operasi pemadaman berikutan tiupan angin kencang menyebabkan ia merebak lebih pantas, kata pihak berkuasa.
Jabatan bomba berkata, kebakaran itu berlaku di kawasan pergunungan berhampiran Loutraki, yang merupakan kawasan pusat peranginan.
“Kebakaran berlaku berhampiran puncak gunung berkenaan,” kata timbalan ketua operasi jabatan bomba, Stefanos Kolokouris.
“Kami cuba mewujudkan perimeter namun bentuk muka bumi yang curam menyebabkan ia sukar dilakukan,” katanya.
Empat pesawat pemadam dan enam helikopter dikerahkan dalam operasi itu.
Berikutan ketiadaan jalan darat untuk ke lokasi kebakaran, dua pasukan bomba terpaksa dihantar menggunakan helikopter Super Puma.
Setakat ini, 50 orang telah dipindahkan ketika kebakaran tercetus pada Sabtu, namun menegaskan kawasan yang tidak berpenghuni lain terjejas.
Jabatan bomba Greece pada Ahad berkata pihaknya menerima lebih 80 panggilan kecemasan sejak 24 jam lalu. – AFP, 15 September, 2019.
Komen