POLIS anti rusuhan Hong Kong guna meriam air dan melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang membaling batu dan bom petrol dalam keganasan terbaharu di bandaraya itu.
Puluhan ribu penunjuk perasaan bertempur dengan pihak berkuasa ketika berarak ke jalan raya ketika mengadakan perhimpunan di bandaraya itu yang berlarutan sejak 99 hari lalu.
Namun perhimpunan bertukar menjadi ganas apabila sekumpulan kecil aktivis—yang dikenali sebagai “golongan berani” dalam pergerakan itu—cuba menyerang kompleks kerajaan.
Polis berulang kali melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air selepas bom petrol dan batu dibaling melepasi penghadang keselamatan di sekeliling kompleks berkenaan, yang sering menjadi lokasi protes
Protes itu diadakan bagi menggesa demokrasi lebih bebas dan ketelusan polis.
Gerakan itu merupakan cabaran besar kepada pentadbiran China sejak bandaraya itu diserahkan semula oleh Britain pada 1997, yang tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir.
Di bawah perjanjian yang dimeterai Britain ketika penyerahan itu, Hong Kong dibenarkan untuk meneruskan kebebasannya selama 50 tahun.
Namun aktivis demokrasi menuduh Beijing memungkiri perjanjian itu dengan memperketatkan kawalan politik ke atas wilayah separa autonomi itu dan menolak gesaan untuk hak pemilihan sejagat. – AFP, 15 September, 2019.
Komen