Tahlil 40 hari untuk BJ Habibie


Presiden Joko Widodo menghadiri solat jenazah bekas presiden Indonesia BJ Habibie tempohari. – Gambar AFP, 15 September, 2019.

MAJLIS tahlil untuk bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie yang meninggal dunia Rabu lalu akan diadakan selama 40 hari di kediamannya di Jakarta Selatan, lapor media republik.

Anak sulung Habibie, Ilham Akbar berkata majlis tahlil untuk mendoakan almarhum ayahnya itu terbuka kepada umum.

“Kita sifatkannya seperti rumah terbuka, undangannya umum,” katanya, seperti dipetik agensi berita Antara.

“Mungkin kita tidak boleh menyediakan semuanya kerana ini juga bukan (stadium) Gelora Bung Karno, ada batasnya.”

Menurut CNN Indonesia, majlis tahlil 40 hari berturut-turut sudah menjadi amalan tradisi keluarga Habibie, yang sekarang diteruskan oleh anak-anaknya.

Semasa isterinya Hasri Ainun Besari meninggal dunia pada 2010 kerana barah rahim, Habibie juga menganjurkan majlis tahlil selama 40 malam.

“Kita mahu membuat acara yang sama untuk bapak, seperti bapak mengadakan sembilan tahun yang lalu ketika ibu wafat,” kata Ilham.

Media di Indonesia melaporkan majlis tahlil beberapa hari lalu dihadiri oleh banyak tokoh antaranya bekas pengerusi parti Golkar, Akbar Tanjung; pemimpin Gerindra, Rachmawati Soekarnoputri dan bekas ketua Mahkamah Perlembagaan, Jimly Asshiddiqie.

Habibie meninggal dunia pada 11 September lalu selepas dirawat di hospital kerana sakit tua yang menyebabkan kegagalan jantung. Umurnya 83 tahun.

Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan rumah Habibie di kampung kelahirannya di Kota Parepare di Sulawesi Selatan akan dijadikan muzium oleh pemerintah daerah sebagai mengenang jasa beliau.

Parepare juga menempatkan tugu Habibie dan Ainun, sebagai meraikan cinta sejati pasangan itu. Habibie mengabadikan kisah hidupnya dengan Ainun dalam buku memoir berjudul Habibie & Ainun, yang kemudian difilemkan dengan tajuk yang sama. – 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen