Tunjuk perasaan semakin memuncak di Kashmir 


Setakat ini 722 protes diadakan sejak 5 Ogos lalu, dengan wilayah Baramulla di barat laut dan Pulwama di selatan menjadi lokasi protes terbesar selepas Srinagar.– Gambar EPA, 15 September, 2019.

KASHMIR menyaksikan hampir 20 protes setiap hari terhadap pemerintah India sejak enam minggu lalu walaupun perintah berkurung dikenakan bagi mengurangkan keadaan tu, kata seorang pegawai kanan kerajaan kepada AFP.

Ketegangan semakin memuncak di wilayah Himalaya itu selepas New Delhi membuat keputusan kontroversi bulan lalu untuk menarik balik status separa autonomi sejak berdekad lalu di wilayah berkenaan.

Walaupun dikenakan perintah berkurung, kawalan terhadap internet dan perkhidmatan telefon bimbit, protes awam terhadap India, terutamanya di bandar Srinagar tetap berlarutan, menurut sumber.

Setakat ini 722 protes diadakan sejak 5 Ogos lalu, dengan wilayah Baramulla di barat laut dan Pulwama di selatan menjadi lokasi protes terbesar selepas Srinagar.

Sejak tarikh berkenaan, hampir 200 orang awam dan 415 anggota pasukan keselamatan cedera, menurut sumber.

Namun menurut angka rasmi, hanya 95 orang awam cedera sejak lebih dua minggu lalu.

Setakat ini, lebih 4,100 orang, termasuk 170 pemimpin politik tempatan ditahan di seluruh lembah berkenaan, dan 3,000 orang telah dibebaskan sejak dua minggu lalu, menurut seorang pegawai kerajaan.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang dibebaskan termasuk ahli politik.

Pihak berkuasa India setakat ini menyatakan jumlah keganasan berkurangan, dan hanya lima orang awam terbunuh sejak operasi memburu penunjuk perasaan dijalankan.

Keluarga kepada empat orang yang terbunuh itu memberitahu AFP, mereka percaya pasukan keselamatan bertanggungjawab atas kematian mereka.

Dua negara nuklear India dan Pakistan telah mengharungi dua peperangan bagi merebut wilayah Kashmir, yang memisahkan dua negara itu pada 1947. – AFP, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen