Penunjuk perasaan gesa Britain campur tangan di Hong Kong


Ratusan penunjuk perasaan menyanyikan lagu "God Save the Queen" dan "Rule Britannia" di luar konsulat sambil mengibarkan Union Jack serta bendera Hong Kong semasa zaman kolonial. – Gambar AFP, 15 September, 2019.

PENUNJUK perasaan pro-demokrasi berhimpun di luar konsulat Britain di Hong Kong pada hari Ahad demi menuntut London campur tangan untuk melindungi bekas wilayah jajahannya itu di samping meningkatkan tekanan terhadap Beijing.

Ratusan penunjuk perasaan menyanyikan lagu “God Save the Queen” dan “Rule Britannia” di luar konsulat sambil mengibarkan Union Jack serta bendera Hong Kong semasa zaman kolonial.

Himpunan itu adalah salah satu siri himpunan besar yang dilancarkan di jalan-jalan besar bandar Hong Kong bagi membantah larangan berhimpun oleh pihak polis.

Pusat antarabangsa yang stabil itu telah menyaksikan perhimpunan besar sejak beberapa minggu lalu bagi menuntut kebebasan demokratik dan akauntabiliti polis.

Pergerakan pro-demokrasi itu juga dilihat sebagai cabaran terbesar kepada pemerintahan China sejak bandar itu diserahkan oleh Britain pada tahun 1997 dan himpunan yang digerakkan masih tidak menunjukkan tanda ia akan berakhir apabila pemimpin tempatan dan Beijing masing-masing bersikap keras.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani Britain menjelang penyerahannya pada tahun 1997 kepada China, Hong Kong dibenarkan mengekalkan kebebasannya yang unik bagi tempoh 50 tahun.

Aktivis demokrasi menuduh Beijing telah menafikan janji-janji itu dengan mengetatkan kawalan politik ke atas wilayah semi-autonomi tersebut di samping menolak gesaan untuk melaksanakan untuk hak memilih kepimpinan sendiri. – AFP, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen