KUMPULAN pemberontak Taliban di Afghanistan bertindak menarik sekatan yang dikenakan terhadap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di kawasan yang dikuasai mereka pada Ahad dan mengembalikan jaminan keselamatan terhadap petugas organisasi itu.
Taliban dan ICRC “bersetuju untuk mematuhi perjanjian lama di samping perjanjian baharu untuk bantuan kemanusiaan yang membenarkan ICRC meneruskan aktiviti mereka,” kata jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid dalam satu kenyataan.
Pejuang Taliban diarahkan “untuk memberi laluan kepada aktiviti ICRC dan menjaga keselamatan pekerja dan peralatan organisasi itu,” tambahnya.
“Kami mengalu-alukan pengiktirafan prinsip kemanusiaan kami dan memperbaharui jaminan keselamatan bagi membolehkan kami bertugas di Afghanistan utnuk rakyat yang terjejas akibat konflik bersenjata,” kata ketua ICRC di Kabul, Schaerer Juan-Pedro melalui Twitter.
April lalu, kumpulan pemberontak itu menyekat ICRC dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) daripada menjalankan aktiviti bantua di kawasan bawah penguasaan mereka dan menarik jaminan keselamatan.
Bagaimanapun Taliban tidak menyebut WHO dalam pengumuman itu, yang katanya susulan daripada rundingan dengan ICRC di Doha.
Ogos tahun lalu, Taliban menarik balik sementara jaminan keselamatan ke atas ICRC, dan menuduh kumpulan antarabangsa itu gagal mematuhi kewajipan misi untuk memantau keadaan tahanan di penjara Afganistan dan menyediakan bantuan perubatan kepada banduan Taliban. – AFP, 15 September, 2019.
Komen