Penyatuan ummah yang para pimpinannya korup


KEPADA pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (seperti saya) yang gusar dengan penyatuan umat PAS dan Umno pada 14 September 2019, terdapat satu senario yang agak melegakan.

Tatkala piagam dimeterai oleh kedua-dua presiden PAS dan Umno, Allah swt telah mententeramkan jiwa dan sanubari saya yang penuh gusar. Allah swt memperlihatkan kepada saya barisan pemimpin yang sedang berhadapan kes rasuah dan salah guna kuasa, yang hampir merosakkan masa depan rakyat Malaysia dari segi moral dan etika.

Lebih menghiburkan apabila kenyataan para pemimpin Umno dan PAS ini masih lagi tidak mengakui bahawa mereka telah diambil kuasa dan amanah yang telah Allah berikan akibat rakus merasuah, menambah kekayaan dan juga menyalah guna kuasa. 

Apabila penyatuan ummah ini tidak menumpukan ke arah menginsafi dan bertaubat untuk tidak lagi rasuah dan menyeleweng, saya berpendapat Pakatan Harapan (bagi yang gusar dan prihatin serta tidak lupa diri) masih punyai peluang untuk berhadapan dengan ketumbukan baharu arena politik Malaysia ini.

Penyatuan 5 juta ahli Umno dan PAS ini memang sebuah sejarah yang akan terus mencatat dan melakar pelbagai lagi sejarah sekiranya akar umbi menolak semua pemimpin yang sedang berhadapan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa. 

Lebih hebat jika penyatuan ummah ini diterajui oleh barisan kepimpinan pemuda seperti apa yang dinyatakan oleh wakil-wakil pemuda Umno dan PAS, bahawasanya mereka tidak terlibat bahkan ada yang belum lahir semasa peperangan Umno-PAS kafir mengkafir, royalti minyak dan juga tragedi Memali. Pemuda mahu membina masa depan baharu bersama penyatuan ummah ini.

Alhamdulillah, penyatuan ummah ini diterajui oleh pemimpin senior dari Umno terutamanya yang telah mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa berdekad-dekad lamanya.

Mengikut rekod, ini kali ketiga penyatuan ummah berlaku selepas penggabungan era Parti Perikatan (1972-1973) dan era Barisan Nasional (1973-1978). 

Cuma kali ini para pemimpin Umno dan PAS mendakwa penyatuan ini bermula dari desakan akar umbi dan tidak seperti dahulu iaitu terbentuk hasil daripada kegusaran peringkat pimpinan berhadapan dengan kemaraan kuasa rakyat bukan Melayu-Islam di dalam politik Malaysia.

Najib Razak diselubungi pelbagai pertuduhan berikutan skandal 1MDB dan SRC International. – Gambar EPA, 15 September, 2019..

PAS sejak dahulu lagi dikenali penubuhannya untuk mengimbangi pengaruh kuat British di Malaysia dan tidak yakin dengan cara Umno memimpin rakyat Melayu-Islam yang terlihat amat longgar kecintaannya kepada syariat Islam pada ketika itu. 

Oleh itu, sejarah mencatatkan PAS seringkali dikhianati dan berbalah dek prinsip fundamentalis Islamnya. PAS meninggalkan Pakatan Rakyat oleh isu yang serupa dan kini zikir mereka yang senantiasa basah di bibir adalah DAP laknatullah, DAP musuh Islam dan sebagainya.

Baik, mengapa penyatuan ummah pada 14 september 2019 ini akhirnya tercapai?

Banyak analisis dan pendapat yang boleh dihuraikan, tetapi saya memilih untuk membicarakan dua faktor. Pertama, kuasa dan keduanya, prestasi Pakatan Harapan yang lembab.

Biarlah dengan seribu satu alasan dan propaganda, sama ada untuk perjuangan Melayu Islam, memperkukuh ekonomi orang Melayu Islam atau membaiki negara yang telah dirosakkan oleh PH. Inti pati penyatuan ini adalah kuasa: Umno dan PAS ingin menang PRU15 dan memerintah Malaysia.

Perlu kita selalu ingat bahawasanya menceburi bidang politik adalah sebuah pekerjaan dan perniagaan. Mana mungkin untuk ahli politikus terutamanya daripada Umno yang hidupnya maha-mewah untuk mengekalkan gaya hidup mewah mereka tanpa kuasa. Mereka kini hilang pekerjaan! Itu realitinya.

Semua gula-gula politik yang diatasnamakan untuk kebajikan rakyat semuanya bohong jika pemimpin itu bersama keluarganya hidup mewah. 

Jadi penyatuan ummah Umno dan PAS ini tidak lain dan tidak bukan ingin menguasai semula Putrajaya kerana merindui segala kekayaan yang negara kita perolehi.

Seperti kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, jika tak berbalah para pengundi, lima buah negeri akan pasti memilih parti penyatuan ummah pada PRU15 nanti. Statistik pola pengundian telah lebih 6 bulan berlegar-legar di media sosial iaitu apabila Umno dan PAS bergabung akan banyak kawasan milik PH akan tumbang.

Sepatutnya Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengumpul data kecenderungan pengundi muda termasuk yang bakal berusia 18 tahun pada PRU15 nanti sama ada mereka tertarik dengan PH ataupun tidak. Lebih bermanfaat dari berkongsi dapatan bahawa sokongan PAS merudum di beberapa buah negeri.

Ini kerana pada mata kasar, di sosial media dan juga bersembang di lapangan seperti di pasar malam, majoriti anak-anak muda Melayu Islam tidak tertarik langsung dengan PH. 

Ada yang sampai tahap mengatakan PH ini adalah DAP bangsa Cina yang ingin menguasai Malaysia. Najib Razak dan Abdul Hadi Awang menjadi ikon kebanggaan mereka sedangkan di bahagian PH, Anwar Ibrahim yang sepatutnya diangkat menjadi ikon tidak disepakati oleh para pimpinan bahkan suara dan buah fikirannya kini tidak kedengaran lagi, baik di RTM mahupun di mana-mana.

Wartawan lebih galak bermain populariti dengan persoalan bila Anwar akan jadi perdana menteri berbanding berjumpa beliau untuk menemubual nasihat, buah fikiran dan visinya untuk Malaysia baharu ini.

Kenyataan di atas adalah mukadimah saya untuk faktor kedua mengapa terjadinya penyatuan ummah Umno dan PAS iaitu kelembapan prestasi PH.

PH sebenarnya berhadapan dengan musuh yang amat lemah dan tidak bermoral iaitu para pemimpin Umno dan PAS yang terkait kes rasuah dan salah guna kuasa. Sebab itu pada hemat saya, dalam penyatuan ummah ini, PAS telah mengorbankan pelbagai prinsipnya berbanding Umno dalam keadaan PAS masih kukuh akar umbinya.

Sepatutnya kemenangan PAS mengekalkan Kelantan selama 30 tahun dan kini dapat kembali memerintah Terengganu dimuhasabah sebaik mungkin oleh Majlis Presiden PH supaya ahli-ahli PAS di akar umbi tidak terpesona dengan musuh utama iaitu Umno. 

Sebagai parti komponen yang membawa identiti Islam dan Melayu dalam Pakatan Harapan, Amanah dan Bersatu wajib berkerja lebih keras meyakinkan umat Islam supaya tidak terpesona dengan penyatuan pemimpin rasuah Umno dan PAS ini.

Untuk pemimpin DAP dan mana-mana ahlinya yang masih tidak segan silu mengguris perasaan orang Melayu Islam, hentikanlah kerja bodoh kalian. Tumpulah pada prestasi kerja anda untuk rakyat.

Ini tanah dan bumi Melayu Islam yang telah dirobek oleh Umno sekian lama. Umno dan BN telah mendiskriminasi kaum bukan Melayu di Malaysia ini. Janganlah kalian, dek kesalahan Umno-BN, ingin menghukum umat Islam kerana kalian telah mendapat kuasa mentadbir negara yang majoritinya umat Melayu Islam. – 15 September, 2019.

* Luqman Hisyam, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen