Kerajaan peruntuk RM20 juta ukur tanah adat di Sabah


Pengukuran tanah menerusi Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) telah melibatkan sebanyak 141 buah kampung di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2019.

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk program pengukuran tanah adat anak negeri di seluruh Sabah, tahun ini.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Safar Untong berkata, setakat ini proses pengukuran tanah menerusi Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) telah melibatkan sebanyak 141 buah kampung daripada 21 daerah di seluruh Sabah bermula 2012 hingga bulan ini.

“Dalam tempoh itu sebanyak 20,948 lot dengan keluasan 36,048.344 hektar tanah berjaya diukur di seluruh Sabah. 

“Sehingga kini, sebanyak 6,335 geran deraf telah dikeluarkan dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur masih lagi giat mencetak deraf geran,” katanya ketika berucap pada majlis Program Pantas di Kampung Kiau Taburi pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Ewon Benedick.

Safar dalam pada itu berkata, sesi taklimat awal bersama penduduk Kampung Kiau telah diadakan pada 27 Ogos lalu bertujuan memberikan maklumat tentang rancangan pengukuran bagi kawasan kampung itu.

Katanya sebuah Jawatankuasa Pengukuran Lapangan ditubuhkan bersama ketua kampung selepas pelancaran program berkenaan.

“Ini bertujuan untuk merancang lebih teliti pengukuran lot dan pendaftaran permohonan tanah program Pantas di Kampung Kiau,” katanya sambil berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi memudahkan proses pengukuran tersebut.

Program pengukuran di Kampung Kiau itu merupakan program PANTAS pertama di daerah Kota Belud. Bagi kawasan kampung itu, arahan ukur telah dikeluarkan pada 12 September lalu untuk 254 lot yang berkeluasan kira-kira seluas 200 hektar (500 ekar). – Bernama, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen