Guru wanita rugi RM120,000 ditipu 


SEORANG guru wanita mendakwa kerugian RM120,000 selepas diperdayakan sindiket Macau scam yang mendakwa dirinya terlibat dengan siasatan kes dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada lelaki mendakwa wakil Mahkamah Kuala Terengganu, Terengganu pada 9.30 pagi Khamis lepas.

Suspek didakwa telah memberitahu mangsa mempunyai tunggakan hutang kad kredit sebanyak RM13,600.10 sebelum talian dikatakan disambung kepada polis.

“Pengadu mendakwa dirinya panik apabila dimaklumkan terlibat pula dengan kegiatan dadah dan wang di dalam akaunnya akan dibekukan sehingga tamat siasatan.

“Mangsa mendakwa diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek kerana bimbang simpanannya hilang,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa telah membuat pengeluaran wang di bandar berhampiran tempat dia mengajar di Muadzam Shah, Rompin dekat sini dan memasukkan wang itu ke dalam akaun diberikan suspek pada hari yang sama.

Bagaimanapun, setelah beberapa hari, mangsa berasa dirinya telah ditipu menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – Bernama, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen