PM Britain dakwa ada kemajuan besar dalam berbincangan Brexit


Perdana Menteri Britain Boris Johnson yakin dengan usahanya menjayakan Brexit. – Gambar EPA, 15 September, 2019.

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson berkata pada Sabtu beliau membuat “kemajuan yang besar” ke arah perjanjian Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU), dalam satu wawancara di mana beliau membandingkan Britain dengan Incredible Hulk.

“Ia akan memerlukan banyak kerja sekarang dan 17 Oktober” apabila para pemimpin EU berkumpul untuk sidang kemuncak terakhir mereka sebelum Britain dijadualkan keluar dari blok itu, katanya kepada akhbar Mail pada Ahad.

“Tetapi saya akan pergi ke sidang kemuncak itu dan saya akan memperoleh perjanjian, saya sangat yakin. Dan jika kita tidak mendapat perjanjian maka kita akan keluar pada 31 Oktober.”

Ia merupakan komennya menjelang perjumpaan dengan Ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker dan Perunding Brexit EU, Michel Barnier, di Luxembourg pada Isnin.

Dalam analogi yang pelik, Johnson membandingkan Britain dengan watak komik Hulk.

“Semakin marah Hulk, dia akan menjadi kuat dan sering dapat melepaskan diri, tidak kira betapa ketatnya diikat - dan itu yang berlaku kepada negara ini,” katanya.

“Kami akan keluar pada 31 Oktober dan kami akan melakukannya, percayalah.”

Bagaimanapun, penentangan di peringkat Parlimen tidak memudahkan Johnson terhadap usaha Brexit apabila seorang anggota Parlimen Parti Konservatif memilih keluar daripada parti dan membelot ke Liberal Demokrat.

Bekas menteri universiti, Sam Gyimah mengkritik keras ancaman Johnson yang ingin meninggalkan EU tanpa perjanjian. Ia juga sempat menyeru agar referendum Brexit 2016 diulang. – AFP, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen