Arab Saudi gantung pengeluaran minyak selepas loji diserang dron


Asap kelihatan di loji minyak milik Aramco di Abqaiq yang diserang pemberontak. Ia mengakibatkan penggantungan pengeluaran sebanyak 5.7 juta tong minyak mentah sehari. – Gambar AFP, 15 September, 2019.

ARAB Saudi menghentikan sementara operasi di dua loji minyak Aramco yang diserang oleh pemberontak Yaman, menjejaskan kira-kira separuh jumlah pengeluaran syarikat itu, kata menteri tenaga pada Sabtu.

Serangan “mengakibatkan penggantungan sementara pengeluaran di kilang Abqaiq dan Khurais,” kata Putera Abdulaziz bin Salman, menteri tenaga dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency.

Ia menyebabkan gangguan kira-kira 50% daripada jumlah pengeluaran, katanya.

“Serangan ini mengakibatkan penggantungan pengeluaran sebanyak 5.7 juta tong minyak mentah sehari,” kata Aramco yang merupakan milik kerajaan dalam satu kenyataan berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser berkata usaha sedang dijalankan untuk memulihkan pengeluaran dan laporan progres akan disediakan dalam masa dua hari lagi.

Serangan dron pemberontak Houthi terhadap Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di Arab Saudi Timur, adalah yang terbaru dalam satu siri serangan loji minyak kerajaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Nasser berkata “tiada kecederaan” dilaporkan dalam serangan itu.

Pemberontak Houthi mengatakan mereka melancarkan “operasi berskala besar melibatkan 10 dron” di kemudahan berkenaan, lapor saluran televisyen Al-Masirah kumpulan itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo menyalahkan Iran berhubung serangan itu.

“Iran kini melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap bekalan tenaga dunia,” kata Pompeo.

Arab Saudi, sekutu utama Washington, berulang kali menuduh Iran membekalkan senjata kepada pemberontak. Taheran menafikan pertuduhan itu. – AFP, 15 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen