SEORANG wanita muda cedera parah dalam sebuah kejadian letupan di bandar Lund, selatan Sweden, pada hari Sabtu, kata polis.
Polis menerima beberapa panggilan mengenai letupan tersebut di tengah-tengah bandar Lund kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan.
Seorang wanita berusia dalam lingkungan dua puluhan, sedang melalui kawasan itu ketika letupan berlaku. Dia didapati cedera di tempat kejadian dan dibawa ke hospital.
“Dia mendapat kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa,” kata jurucakap polis, Evelina Olsson.
Letupan itu digambarkan sebagai teruk dan dipercayai disengajakan.
“Kami ada laporan bahawa tingkap sejauh 100 meter rosak,” kata Olsson sambil menambah bahawa pihaknya telah memulakan siasatan di bawah kes “menyebabkan kecederaan tubuh badan” dan “melakukan kemusnahan yang menyebabkan bahaya awam”.
Tiada tangkapan dibuat pada hari Sabtu tetapi polis telah menghubungi pemilik kedai kecil yang merupakan sasaran jelas letupan tersebut.
Kira-kira 90,000 penduduk tinggal di Lund, yang terletak berhampiran Malmo.
Ia juga merupakan tempat terletaknya Universiti Lund, salah satu universiti tertua dan terbesar di Sweden, yang menampung kira-kira 40,000 pelajar. – AFP, 14 September, 2019.
Komen