Kebakaran hospital di Brazil berpunca dari bilik jana kuasa


Pemandangan luar Hospital Badim yang mengalami kebakaran sehingga mengorbankan 11 nyawa semalam. Pihak berkuasa mengesahkan kebakaran itu bermula dari bilik penjana kuasa.– Gambar EPA, 14 September, 2019.

PIHAK berkuasa mengesahkan pada Jumaat bahawa kebakaran di sebuah hospital swasta di bandar Rio de Janeiro, Brazil pada Khamis malam bermula di bilik penjana kuasa yang terletak di ruang bawah tanah, lapor agensi berita China Xinhua.

Para penyiasat telah mengenal pasti di mana kebakaran itu bermula menerusi satu analisis imeh daripada kamera hospital dan polis masih melakukan kerja-kerja forensik.

Angka korban mencecah 11 orang pada Jumaat apabila seorang pesakit yang dipindahkan ke sebuah hospital lain pada Khamis meninggal dunia pada hari yang sama.

Semua mangsa adalah pesakit Hospital Badim dan mereka adalah warga emas yang berusia dalam lingkungan 66 hingga 96 tahun. Menurut pihak berkuasa, kebanyakan mangsa maut akibat terhidu asap.

Hospital Badim, yang merupakan fasiliti swasta dan terletak berhampiran stadium Maracana yang terkenal, mempunyai sejumlah 103 pesakit yang ditempatkan di wad dan unit rawatan rapi ketika kebakaran berlaku.

Anggota bomba daripada enam balai bertungkus-lumus selama beberapa jam untuk memadamkan api dan memindahkan pesakit, penjaga dan pekerja hospital itu dari lokasi kejadian.

Daripada sejumlah pesakit yang dipindahkan ke 12 fasiliti lain di bandar itu, 15 telah dibenarkan pulang manakala 77 lagi masih ditempatkan di hospital, menurut pihak pentadbiran hospital.

Selain itu, 20 daripada 224 petugas hospital turut menerima rawatan.

Marcelo Crivella, datuk bandar Rio de Janeiro, telah mengisytiharkan tiga hari sebagai tempoh berkabung rasmi untuk mangsa kebakaran.

Presiden Jair Bolsonaro turut menzahirkan ucapan takziah berhubung insiden itu. – Bernama, 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen