Suami isteri maut motosikal berkuasa tinggi dirempuh kereta 


SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Perodua Alza di KM29 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata kemalangan kira-kira 9.25 malam itu menyebabkan Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafia, 40, kedua-duanya berasal dari Terengganu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati Mohd Hanafi yang merupakan penunggang dan Salimah yang membonceng, merupakan antara kumpulan 20 motosikal berkuasa tinggi yang sedang dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Desaru dekat Kota Tinggi sempena International Desaru Bike Week manakala Perodua Alza berkenaan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Endau, Mersing.

“Semasa melalui selekoh di kawasan kejadian, Perodua Alza dipercayai telah memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal Kawasaki Z800 dinaiki mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cyril berkata selain kedua-dua mangsa yang maut, kemalangan itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah dan dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – Bernama, 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen