Dron pemberontak Yaman serang loji minyak Saudi Aramco 


Salah satu loji minyak milik Saudi Aramco yang sering menjadi sasaran serangan dron pemberontak Huthi Yaman.– Gambar EPA, 14 September, 2019.

SERANGAN dron mencetuskan kebakaran di dua loji minyak milik Saudi Aramco pada Sabtu, menurut menteri dalam negeri.

Kumpulan pemberontak Yaman mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Serangan awal pagi itu berlaku di Abqaiq dan Khurais yang merupakan loji terbesar Aramco di timur Arab Saudi susulan ketegangan dengan Iran.

“Kira-kira pukul 4 pagi, pasukan keselamatan perindustrian Aramco mula memadamkan kebakaran di dua lojinya di Abqaiq dan Khurais yang berpunca daripada serangan dron,” kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan yang disiarkan Saudi Press Agency.

“Dua kebakaran itu bagaimanapun berjaya di kawal.”

Tambah kenyataan itu, siasatan telah dijalankan selepas seraagn di wilayah timur negara itu, namun tidak menyatakan butiran lanjut berhubung dron berkenaan.

Ia juga tidak menyatakan sama ada terdapat kemalangan jiwa atau sama ada operasi di dua loji itu terjejas.

Jumlah kerosakan masih belum jelas kerana pemberita tidak dibenarkan mendekati loji berkenaan yang mana pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan kawalan keselamatan.

Sejak beberapa bulan lalu, pemberontak Huthi melancarkan serangan peluru berpandu rentas sempadan dan serangan dron yang mensasarkan pangkalan udara tentera Arab Saudi dan kemudahan lain dalam apa yang dikatakan sebagai serangan balas terhadap kempen pengeoman ke atas kawasan yang dikuasai pemberontak di Yaman.  – AFP, 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen