SEORANG wanita warga tempatan ditahan bersama 424 bungkus mercun dan bunga api serta 80 kotak rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Razali di Kuantan, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, ACP Norzaid Muhammad Said berkata suspek yang ditahan berusia 46 tahun dipercayai pemilik rumah kedai itu dan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM58,294.
“Serbuan diadakan pada 3 petang semalam, susulan daripada aduan orang awam dan mendapati rokok, mercun dan bunga api itu disimpan di beberapa kawasan berasingan dalam premis tersebut.
“Wanita tersebut menetap di rumah kedai itu bersama ibunya dan dipercayai rokok itu adalah untuk jualan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Norzaid berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957. – Bernama, 14 September, 2019.
Komen