DELEGASI Taliban mengadakan perbincangan dengan pegawai Rusia di Moscow selepas rundingan Amerika Syarikat (AS) dengan kumpulan pemberontak Afghanistan itu gagal, kata Kementerian Luar Negeri Rusia hari ini.
“Wakil khas presiden Russia untuk Afghanistan ..., Zamir Kabulov, menjadi tuan rumah delegasi Taliban di Moscow,” kata seorang jurucakap kementerian yang dipetik agensi berita RIA Novosti.
Tiada tarikh berkenaan rundingan itu didedahkan.
“Pihak Rusia menegaskan keperluan untuk melancarkan semula rundingan antara Amerika Syarikat dan Taliban,” kata jurucakap itu.
“Bercakap bagi pihak mereka, Taliban mengesahkan kesediaan untuk meneruskan dialog dengan Washington,” katanya.
Sejak seminggu lalu, jangkaan rundingan Taliban dan AS diharap dapat menyaksikan pengunduran pasukan AS di Afghanistan dan Taliban menawarkan jaminan keselamatan.
Namun pada Sabtu lalu, Trump mendedahkan beliau telah membatalkan satu pertemuan antara Taliban dan dirinya sendiri di Amerika Syarikat dan mengisytiharkan rundingan dengan militan itu telah “berakhir”.
Dengan lebih daripada 13,000 tentera AS masih di Afghanistan, Trump berazam untuk menamatkan perang terpanjang Amerika, yang dilancarkan 18 tahun lalu selepas serangan 11 September.
Kebimbangan kini semakin meningkat apabila siri keganasan memuncak selepas pilihan raya presiden ditetapkan 28 September depan di Afghanistan.
Pilihan raya keempat negara itu, sejak kejatuhan Taliban pada tahun 2001, telah ditangguhkan dua kali tahun ini.
Pasukan pemerintah dan Taliban telah terlibat dalam pertempuran di seluruh negara, dengan kumpulan militan itu yang bersumpah untuk terus berjuang dan membuat AS menyesal kerana tidak mahu berunding.
Rusia telah cuba mempengaruhi rundingan damai dan mengadakan dua pertemuan di Moscow dengan pemimpin politik Afghanistan pada awal tahun ini. – 14 September, 2019.
Komen