BANGLADESH mengharamkan tiga badan kebajikan Islam daripada bekerja untuk pelarian Rohingya kerana wujud kebimbangan ideologi radikal meresap ke dalam kem pelarian itu, kata seorang wakil rakyat.
Mahjabeen Khaled, wakil rakyat daripada parti pemerintah Awami League berkata badan kebajikan antarabangsa Muslim Aid dan Islamic Relief serta badan kebajikan negara itu Allama Fazlullah Foundation disenarai hitamkan daripada membantu pelarian Rohingya di kawasan Cox’s Bazaar.
Khaled yang menganggotai jawatankuasa Parlimen mengenai hubungan luar mengatakan tiada dakwaan khas dibuat kepada badan kebajikan tersebut.
Tetapi pihak berkuasa telah “menyiasat dan menyaring” semua badan kebajikan yang mahu menyumbang kepada pelarian di Cox’s Bazaar, tempat tinggal sementara hampir setengah juta pelarian yang melarikan diri dari Myanmar sejak Ogos lalu.
“Kami mahu memantau siapa yang beri bantuan, dan mengapa atas faktor keselamatan. Siapa yang biaya mereka, dan apa yang mereka mahu lakukan dengan wang itu?” kata Khaled kepada AFP.
“Mereka (Rohingya) sangat mudah dipengaruhi. Banyak yang boleh dilakukan dengan rakyat Rohinya. Kami hanya mahu berhati-hati,” katanya menambah “mudah” menarik pelarian menjadi militan.
Waseem Ahmed, pengarah Islamic Relief mengatakan dakwaan salah urus dilakukan badan kebajikan itu “tidak berasas dan salah maklumat.”
“Memandangkan kami masih menunggu kelulusan kerajaan dan masih belum memulakan apa-apa projek di kem itu, sangat mengecewakan untuk mengaitkan kami dengan apa-apa aktiviti yang kami tidak lakukan,” katanya.
Bangladesh mengetatkan kemasukan ke dalam kem Rohinya sejak beberapa tahun ini, tetapi melonggarkan kemasukan itu bulan lepas selepas 520,000 pelarian memasuki negara itu.
Biro Hal Ehwal NGO negara itu meluluskan 30 badan kebajikan tempatan dan luar negara bagi memenuhi “keperluan kecemasan” dalam kem yang sesak itu yang sudahpun menempatkan hampir 300,000 pelarian sebelum ini.
Sebelum itu, hanya empat badan kebajikan- termasuklah Doctors Without Borders (MSF) dan Action Against Hunger (ACF)- dibenarkan beroperasi dalam kawasan sensitif itu.
Khaled berkata Muslim Aid juga tidak dibenarkan beroperasi di kem pelarian pada 2012, apabila ribuan pelarian Rohingya masuk ke negara itu selepas keganasan meletus di Myanmar.
Pihak berkuasa Bangladesh enggan mendedahkan alasan mereka menyekat akses ke dalam kem itu, tetapi kebimbangan wujud pelarian Rohingya tersebut mudah dimanipulasikan untuk kumpulan pengganas.
Bangladesh yang berusaha memerangi aktiviti radikal Islam dalam negara sendiri yang telah mengaku bertanggungjawab dalam kes pembunuhan penulis blog, aktivis secular dan rakyat asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Badan kebajikan yang dibenarkan beroperasi bulan lepas hanya boleh bekerja dalam kem selama dua bulan, dan aktiviti terhad kepada menyediakan rawatan kesihatan, kemudahan sanitasi dan tempat tinggal untuk pelarian Rohingya. – AFP, 12 Oktober, 2017.
Komen