AMERIKA Syarikat hari ini mengumumkan negara itu menarik diri daripada menyertai Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menuduh agensi itu mempunyai “bias anti-Israel”.
Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert berkata Washington akan menubuhkan “misi pemerhati” untuk menggantikan wakilnya dalam agensi yang berpangkalan di Paris itu.
Pada 2011, ahli Unesco menimbulkan kemarahan Amerika apabila memberikan Palestin keahlian penuh dalam agensi itu, walaupun wujud penentangan daripada sekutu kuatnya, Israel.
Washington menentang mana-mana tindakan agensi PBB yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, percaya ia perlu ditunda sehingga rundingan damai Timur Tengah dimeterai.
Tetapi Presiden Donald Trump juga sedang menyemak kembali pelbagai komitmen multilateralnya, dalam usaha melaksanakan dasar “American First” yang diterajuinya.
Nauert berkata Jabatan Negara sudah memberikan notis keputusan itu kepada Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova awal hari ini.
“Keputusan ini tidak boleh dipandang ringan, dan mencerminkan kebimbangan AS yang semakin meninggi terhadap Unesco, keperluan perubahan dasar organisasi dan penerusan bias anti-Israel di Unesco,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP, 12 Oktober, 2017.
Komen