Mayat dijumpai di rumah bekas diktator Paraguay


Semalam, polis mengarahkan lantai rumah dan sekitar hartanah bekas diktator Paraguay, Alfredo Stroessner digali. – Gambar AFP, 14 September, 2019.

PIHAK berkuasa Paraguay semalam meneruskan operasi menggali bagi mencari lebih banyak mayat yang ditanam di rumah bekas diktator Alfredo Stroessner.

Minggu lalu polis menemui tiga mayat dan polis menyiasat sama ada ketiga-tiga mangsa adalah antara 423 orang yang terbunuh atau hilang secara paksa ketika di bawah pemerintahan kuku besi Stroessner.

Tiga tengkorak manusia dan tulang lain ditemui ketika beberapa penduduk setinggan menggali lantai bilik mandi yang memasuki hartanah tersebut.

Hartanah 30 hektar di lereng bukit dekat Ciudad del Este yang bersempadanan dengan Argentina dan Brazil itu terbiar sejak bertahun lalu.

Semalam, polis mengarahkan lantai rumah dan sekitar hartanah itu digali.

Stroessner, diktator paling lama di Amerika Selatan, memerintah Paraguay dari 1954 hingga 1989.

Penduduk setinggan berkata semalam mereka menemui lebih banyak tulang dalam teroeong bawah tanah di hartanah itu.

“Kami jumpa terowog penuh dengan runtuhan. Kami dimaklumkan ia sepanjang 100 meter dan dihujungnya ada lebih banyak tulang,” kata seorang bekas pegawai perbandaran yang menjadi jurucakap penduduk setinggan.

“Tiada siapa tahu berapa ramai yang mati di sini.”

Penemuan mayat tiga itu menggemparkan Paraguay selepas 30 tahun berakhirnya pemerintahan kuku besi di negara itu.

Ketika pemerintahan Stroessner, 423 orang dibunuh atau “hilang”, 18,722 orang diseksa dan 3,470 lagi hidup dalam buangan, menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Kebenaran Paraguay.

Sebanyak 37 mayat ditemui setakat ini dan hanya empat daripadanya dikenalpasti.

Stroessner digulingkan pada 1989 dan lari ke Brazil. Beliau meninggal dunia pada 2006 di Brazil. – AFP, 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen