Polis nafi kejadian penjenayah lari dari tahanan 


POLIS menafikan berlakunya kejadian dua penjenayah melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, dekat Shah Alam, seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima satu rakaman suara berdurasi 22 saat, mengenai kejadian itu menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

“Rakaman itu menyatakan terdapat dua Orang Kena Tuduh (OKT) melarikan diri dengan salah seorangnya dalam keadaan bergari, di kawasan Kampung Delek, Klang.

“Pihak IPD Klang Selatan menafikan perkara itu berlaku dalam daerah ini. Masyarakat dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi berita tidak benar, sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan suasana tidak tenteram,” katanya dalam kenyataan yang dipaparkan di laman sosial Facebook rasmi IPD Klang Selatan, malam ini.

Tegas Shamsul Amar, mana-mana individu yang didapati menyalah gunakan media sosial, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan boleh terus disalurkan ke IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama, 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen