DAP boleh, apa salah PAS kerjasama dengan Umno, kata komponen


Mohd Farhan Darwis

Wakil Pemuda MCA yang dilihat hadir semasa Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 September, 2019.

PARTI-PARTI komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera tidak melihat kerjasama antara Umno dan PAS akan mendatangkan masalah kepada tujuan politik mereka.

Sebaliknya, parti komponen BN yang ditunjangi Umno dan Gagasan Sejahtera yang dipimpin PAS menyokong usaha itu, yang akan dimeterai secara rasmi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), esok.

“Saya nampak kerjasama antara kedua-dua parti akan berlaku kerana pihak masyarakat Cina telah menolak BN pada 2018. Lebih kurang 95% dah tolak BN, Umno nak cari kaedah sesuai di mana mereka boleh dapat balik sokongan masyarakat khususnya dari kalangan masyarakat Melayu.

“Kita nampak undi Melayu balik kepada Umno. Undi Cina masih sama.

“Kerjasama antara PAS dengan Umno adalah satu kaedah paling baik untuk kukuhkan kedua-dua parti antara PAS dan BN,” kata Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan.

Huan berkata, parti komponen tidak melihat penyatuan itu akan mencetuskan ketegangan politik berasaskan kaum memandangkan gabungan BN mengandungi parti daripada pelbagai komposisi kaum.

“Kita tiada masalah, Cina dalam BN ada MCA, ada PCM, (India) kita ada Makkal Sakti, Kimma, dan MIC,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di PWTC, hari ini.

PAS dan Umno akan memeterai piagam kerjasama secara rasmi esok, sebagai kemuncak perhimpunan dua hari yang dimulai dengan pelbagai program dan aktiviti melibatkan sayap-sayap Pemuda, Puteri, dan Wanita kedua-dua parti hari ini di PWTC.

Huan berkata, PCM akan memberi sokongan penuh kepada kerjasama itu selagi Umno dan PAS tidak mengamalkan politik ekstrem yang menindas kaum lain di negara ini.

“Kita serupa juga, kita terima sesiapa sahaja menjadi kawan kalau mereka tak ekstrem. DAP pernah kerjasama dengan PAS, kenapa PAS tak boleh kerjasama dengan Umno?” soalnya, merujuk kerjasama politik antara PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai DAP dan PKR sebelum ini.

“Cuma kita minta jangan jadi ekstrem dalam soal agama. Kita duduk di Malaysia pelbagai kaum, berbilang bangsa, kita kena hormati agama satu sama lain. Saya hormati Islam, Kristian, dan Hindu. Saya ada ramai kawan Melayu dan mereka juga hormat saya.

“Saya rasa tidak ada masalah PAS dengan kaum lain. Mereka hormat kaum lain juga. Di Kelantan ada ‘sleeping Buddha’, antara terbesar di Asean. Sami di Kelantan pun boleh ada program dan aktiviti mereka,” katanya merujuk negeri yang ditadbir PAS sejak lebih dua dekad lalu.

Malah, Huan turut menasihati pimpinan serta akar umbi PAS dan Umno agar melupakan sejarah hitam sesama mereka untuk memastikan penyatuan yang ingin dicapai mampu bertahan.

“Tapi apa yang berlaku masa dulu kita lupakan dan maafkan. Kita buka lembaran baru dalam politik tanah air.

“Kita hidup sebagai manusia kena berkawan dengan orang lain, kena lebihkan kawan, jangan hidup nak cari gaduh. Ini ajaran semua agama,” kata Huan lagi.

PAS menyertai Parti Perikatan pada 1 Januari 1973, dan bertanding pilihan raya umum pada 1974 menggunakan tiket parti itu. Parti Islam itu kemudiannya meninggalkan BN pada 1978 selepas krisis politik di Kelantan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC R Thinalan berkata, partinya menyedari penyatuan ummah bukan semata-mata untuk orang Melayu, tetapi penyatuan rakyat Malaysia berbilang kaum secara keseluruhannya.

“MIC menghormati penyatuan ummah ini. Penyatuan ummah ini untuk semua, MIC bukan DAP atau PKR, MIC ini kawan setia BN dan juga kawan baru kita PAS.

“Kami Pemuda MIC saling bekerjasama dengan semua dan kami menghormati bangsa dan agama semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan di pentas Pemuda BN dan PAS, di PWTC.

Naib Pengerusi Pemuda MCA Yow Toh Gee pula berkata, partinya turut menyokong penyatuan ummah.

“MCA menjadi parti komponen BN sejak 60 lebih tahun sehingga kini. Kami datang untuk memberikan sokongan kepada himpunan penyatuan ummah.

“Kami juga ingin tahu apakah suara anak muda kita pada masa akan datang, saya rasa hari ini kita datang sini dengan hati boleh bekerjasama bersama pembangkang untuk menuju PRU15 demi merampas semula Putrajaya,” katanya.

Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan pula berkata, penyatuan ummah yang dimaksudkan adalah penyatuan bersifat keseluruhan, bukan semata-mata Umno dan PAS.

“Kita saksikan penyatuan ummah, blok pembangkang bersatu atas nama Islam, mencintai negara kita.

“Hari ini anak muda bersatu padu untuk menggerunkan Pakatan Harapan, hari ini pemimpin muda bersatu padu menggerunnkan DAP dan PKR.

“Kami dari Ikatan kami berbilang kaum. Bila DAP kata penyatuan ini rasis, tidak, Ikatan mewakili seluruh kaum di Malaysia. Ini penyatuan nasional,” katanya. – 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen