BEKAS perdana menteri Turki Ahmet Davutoglu berkata beliau mahu menubuhkan “pergerakan politik baharu” bagi mencabar Presiden Recep Tayyip Erdogan dari bekas sekutunya.
Davutoglu merupakan bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) antara 2014 dan 2016 sehingga hubungannya dengan Erdogan berantakan dan memaksa beliau keluar dari parti.
Terdapat desas-desus yang menyatakan beliau akan menubuhkan partinya sendiri untuk menyaingi AKP.
“Ia adalah tanggungjawab dan tugas kita kepada negara…untuk tubuhkan gerakan politik baharu,” kata Davutoglu kepada pemberita di Ankara.
Davutoglu telah menyampaikan notis tentang niatnya awal tahun ini apabila mengkritik trajektori AKP, terutama setelah keputusan kontroversi membatalkan keputusan pilihan raya Istanbul ketika ia dimenangi oleh pembangkang.
Pembangkang terus memenangi pilihan raya semula di Istanbul dengan margin yang lebih luas, setelah turut memenangi Ankara, yang sebelum ini dikuasai AKP dan pendahulunya sejak tahun 1994.
“Saya meletakkan jawatan dari parti yang mana saya berkhidmat dengan penuh penghormatan, bekerja selama bertahun-tahun dan banyak usaha diberikan kepadanya,” kata Davutoglu.
Peletakan jawatannya itu dibuat sebelum perti berkenaan pada awal bulan ini, memutuskan untuk membawanya ke lembaga disiplin untuk dipecat. – AFP, 13 September, 2019.
Komen