Tiada arahan dari Jakim berhubung doa antara agama, kata Waytha


Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata pihaknya tidak tahu bagaimana surat dalaman antara jabatan dan Jakim diperoleh media.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September Ogos, 2019.

TIADA arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melarang doa antara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Waytha, yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan dan kebajikan sosial berkata, ia hanyalah garis panduan daripada Jakim selepas sebuah jabatan menganjurkan majlis doa bersama pelbagai agama.

“Tiada arahan dikeluarkan. Ia hanya surat dalaman antara jabatan berkenaan dan Jakim. Ia hanya pertanyaan yang kita buat, itu sahaja.Tapi bagaimana ia sampai kepada media kita tidak tahu,” beliau dipetik sebaga berkata oleh Malaysiakini.

Waytha berkata demikian mengulas laporan yang menyatakan Jakim mengeluarkan arahan tidak mengharuskan Umat Islam mengambil bahagian dalam acara berdoa bersama bukan Islam pada majlis pelbagai agama.

Ia dijelaskan oleh Jakim dalam surat bertarikh 7 Ogos sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada jabatan berkenaan.

Jakim berkata ia diputuskan pada dua mesyuarat melibatkan pihak berkuasa agama Islam dan majlis fatwa bahawa orang Islam tidak diharuskan untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai dengan agama lain.

Waytha berkata, di Negeri Sembilan tahun lalu terdapat sebuah majlis yang dihadiri penganut pelbagai agama, yang mana semua pemimpin agama bergilir membacakan doa mereka.

“Jadi saya rasa itu yang menarik kritikan dan Jabatan Perpaduan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan (dari Jakim).”

Beliau berkata nasihat Jakim akan dibincangkan selanjutnya oleh jawatankuasa dalam jabatannya yang bertanggungjawab untuk pemahaman dan keharmonian dalam kalangan agama yang berbeza.

“Dalam jabatan ini, kami ada jawatankuasa untuk pemahaman agama. Kami akan serahkan kepada mereka untuk buat keputusan,” katanya. – 13 September Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen