JUMLAH kematian akibat hujan lebat dan banjir di tenggara Sepanyol meningkat kepada tiga hari ini apabila seorang lelaki lemas setelah keretanya terperangkap dan tenggelam di dalam sebuah terowong, kata pihak berkuasa tempatan.
Insiden terbaru di bandar Almeria itu berlaku apabila terowong dinaiki air dalam beberapa minit, tulis Dewan Bandar Almeria dalam laman sosial Twitternya.
Datuk Bandar Almeria Ramon Fernandez-Pacheco memberitahu radio berita Cadena Ser bahawa seorang anggota polis berjaya menyelamatkan dua mangsa di dalam kenderaan itu tetapi seorang lagi masih terperangkao dalam kereta berkenaan.
Lapangan Terbang Almeria turut ditutup akibat banjir yang disebabkan oleh hujan lebat, kata seorang jurucakap operator lapangan terbang Sepanyol, AENA.
Seorang lelaki berusia 61 tahun dan adik perempuannya berusia 51 tahun maut pada Khamis lepas apabila kenderaan dinaikinya dihanyutkan ketika air deras memenuhi jalan di Caudete, sebuah bandar terletak sekitar 100 kilometer dari barat daya bandar pelabuhan Valencia, kata perkhidmatan kecemasan.
Rakaman yang dikongsi oleh perkhidmatan cuaca AVAMET tempatan menunjukkan kereta yang dihanyutkan dalam air deras di Moixent.
Ia hujan paling lebat pernah direkodkan sejak 1917.
Sekolah berdekatan juga ditutup hari ini apabila hujan lebat dijangka berterusan. – AFP, 13 September, 2019.
Komen