Usah bawa 'bisikan syaitan' dalam penyatuan ummah, kata PAS


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 September, 2019.

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi peringatan agar bisikan-bisikan luar tidak dibawa masuk ke dalam penyatuan ummah yang diusahakan Umno dan PAS.

Tuan Ibrahim berkata, sejarah hitam lampau antara pihak yang terlibat dalam penyatuan itu juga seharusnya tidak lagi diungkit.

“Jangan ada di kalangan kita bawa bisikan syaitan dalam kumpulan yang kita cuba satukan, jangan ada terpengaruh dengan suara- suara yang cuba memecahkan kembali umat Islam, membinanya bukan suatu yang mudah, meruntuhkannya sangat mudah,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Tuan Ibrahim dalam khutbahnya turut memberi peringatan, penyatuan yang mereka bina juga adalah berlandaskan iman kepada Allah.

“Hendaklah kita ingat, kesatuan kita yang dibina atas kesatuan iman kepada Allah. Mungkin antara kita ada perkara lama hendaklah kita tutup,” tambahnya.

“Tanpa keikhlasan, tanpa keimanan kepada Allah, kita tak mungkin dapat jalin kerjasama hubungan yang berterusan sampai bertemu keredaan Allah.”

Himpunan Penyatuan Ummah berlangsung hari ini dan esok di PWTC dan bakal menyaksikan pemetraian piagam perjanjian antara Umno dan PAS bagi membentuk kerjasama politik antara mereka.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut memberi peringatan bahawa penyatuan yang diusahakan oleh Umno dan PAS juga adalah berlandaskan iman kepada Allah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 September, 2019.

Tuan Ibrahim berkata, kekuatan umat Islam juga akan hancur sekiranya mereka berpecah belah kerana musuh akan mengambil kesempatan.

“Kekuatan kita akan hancur bila kita berpecah, musuh akan ambil kesempatan untuk melaga-lagakan umat Islam terkadang dengan perkara remeh-temeh.

“Kesatuan membina kekuatan, kesatuan membina perpaduan, kesatuan membina keharmonian,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan, Islam sebagai agama keamanan akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Islam agama yang membawa kedamaian kepada kemajmukan bagi sebuah masyarakat dan negara.

“Kita menyedari hakikat negara kita bukan Islam sahaja, ada Kristian, Budhha, Hindu,  ada pelbagai bangsa keturunan, semua bangsa keturunan ciptaan Allah.

“Kaum untuk kenal, suku bangsa untuk kenal, namun yang paling mulia di sisi Allah yang paling bertakwa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam mendepani cabaran semasa, penyatuan umat Islam mampu membina kekuatan untuk mengatasi cabaran tersebut. 

“Oleh kerana itulah kita saksikan cabaran umat Islam hari ini berdepan pelbagai perkara yang memerlukan berdepan satu kekuatan. 

“Mari kita bina kekuatan ini, mantapkan kekuatan akidah ini kerana atas akidah inilah kita bersatu demi agama. 

“Umat ini perlu disatukan, umat ini terlalu lama berpecah. Tidak ada masa lagi untuk masa depan kalau masih berpecah,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Beliau juga mengingatkan pimpinan parti agar mennggunakan jawatan mereka dengan baik kerana itu adalah amanah Allah.

“Dengan nama Allah, mudah-mudahan kita bukan sahaja dapat kasih sayang Allah tapi dapat kemenangan dan kekuatan umat Islma dalam negara kita.

“Kepada pemimpin, jawatan adalah amanah Allah. Jaga amanah itu. Mari bina negara dengan rasa tangungjawab dan kasih sayang,” katanya lagi.– 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen