PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau tidak akan meminta Setiausaha Negara Mike Pompeo menggalas dua potfolio dengan menjadi penasihat keselamatan keempatnya selepas penyingkiran John Bolton, lapor agensi berita Xinhua.
Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih, beliau berbincang mengenai idea itu dengan Pompeo dan “dia (Pompeo) tertarik dengan idea mempunyai seorang yang lain bersamanya dan saya pun rasa begitu.”
Trump menambah beliau memiliki 15 calon untuk tugas berkenaan tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Laporan pada Rabu menyatakan, pegawai pentadbiran Trump berbincang mengenai kemungkinan menggantikan Bolton dengan Pompeo, yang bermakna diplomat tertinggi AS itu mengambil alih tugas sebagai penasihat keselamatan dan menggalas dua tugas.
Pada Selasa, Trump memecat Bolton, seorang tokoh dasar luar yang berpendirian keras, selepas presiden itu menyatakan, “beliau amat tidak setuju dengannya”.
Trump dijangka mengumumkan pengganti Bolton pada minggu depan dan ketika ini Timbalan Penasihat Keselamatan AS, Chales Kupperman, memangku tugas berkenaan.
Media AS sebelum ini menyenaraikan calon yang mungkin dipilih untuk jawatan berkenaan termasuk Kupperman; Wakil Khas AS ke Korea Utara, Stephen Biegun dan Wakil Khas AS ke Iran, Brian Hook.
Pengulas berita Fox News, Douglas Macgregor dan Duta AS ke Jerman, Richard Grenell, turut disebut-sebut dalam senarai calon berkenaan.– Bernama, 13 September, 2019.
Komen