PAKISTAN dan Arab Saudi pada Khamis mengadakan perbincangan untuk mempertingkat kerjasama keselamatan serta pertahanan ketika Islamabad mengesahkan untuk memberi sokongan bagi meningkatkan keupayaan pasukan Tentera Darat Saudi, lapor agensi Anadolu.
Sokongan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Jenderal Qamar Javed Bajwa, semasa pertemuan dengan penasihat Kementerian Pertahanan Saudi, Mejar Jeneral Talal Abdullah Al-Otaibi, di markas tentera di kota Garrison di Rawalpindi.
Pertemuan itu antara lain membincangkan isu kepentingan bersama, keamanan serantau dan langkah untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala, termasuk program pertukaran latihan, menurut kenyataan tentera Pakistan.
Hadir sama pada mesyuarat itu Duta Saudi ke Pakistan Nawaf Saeed Al Malkiy.
Riyadh dan Islamabad telah lama terlibat dalam kerjasama pertahanan dan ekonomi.
Bekas anggota tentera Pakistan Jeneral Raheel Sharif kini berkhidmat sebagai Panglima dengan pasukan memerangi keganasan, sebuah pakatan yang merangkumi 39 negara.
Pada Februari 2018, Pakistan dilaporkan menghantar lebih 1,000 askar ke Arab Saudi untuk menyertai pasukan kerajaan, sejajar dengan protokol keselamatan 1982 yang disepakati antara kedua-dua pihak. – Bernama, 13 September, 2019.
Komen