Levi pelepasan tak dikaji semula, kata Guan Eng


Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut menepis khabar angin bahawa kerajaan akan mengenakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 September, 2019.

LEVI pelepasan udara yang baru dilaksanakan tidak akan dikaji semula, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau turut menepis khabar angin bahawa kerajaan akan mengenakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menjana hasil negara.

“Tidak, levi pelepasan baru saja dilaksanakan. Keputusan ini dibuat di bawah Bajet yang lepas dan kita melaksanakannya mulai 1 September bersama pengurangan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) di semua lapangan terbang kecuali KLIA,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 16 Ogos berkata Putrajaya akan mengkaji semula cukai tersebut.

“Kita sedang mengkaji, jika mereka (syarikat penerbangan) mengenakan penumpang tambang yang murah, dan kerajaan mengenakan penumpang ini dengan cukai yang serupa dengan penumpang penerbangan mewah, itu tidak adillah,” katanya.

Cukai yang berkuatkuasa 1 September itu mengenakan caj RM8 bagi penumpang kelas ekonomi yang mengambil penerbangan ke negara Asean, manakala RM50 bagi penumpang kelas lain.

Bagi penerbangan antarabangsa ke negara bukan Asean pula, penumpang kelas ekonomi dikenakan caj RM20 manakala penumpang kelas lain dikenakan caj RM150.

Pada masa sama, Kabinet juga memutuskan kadar PSC bagi pelancong yang berlepas dari semua lapangan terbang kecuali KLIA akan dikurangkan daripada RM73 kepada RM50 untuk penerbangan antarabangsa ke negara luar Asean.

Kementerian Pengangkutan pada 30 Ogos berkata kadar baharu PSC berkuatkuasa 1 Oktober. – 13 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen