PUTRAJAYA akan berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri susulan beberapa serbuan ke atas pengikut Syiah minggu lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Dr Mujahid Yusof.
Katanya, perbincangan itu adalah untuk mencari jalan menyesuaikan penguatkuasaan undang-undang syariah dengan hak kebebasan beragama yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
“Isu ini terletak pada kuasa negeri. Kita sudah pun dapat maklum balas dari menteri besar dalam mesyuarat dan akan teliti sejauh mana perkara ini kita boleh tengok dalam rangka yang lebih besar.
“Kita kekalkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu kebebasan beragama… keseimbangan itu kita sedang melihat,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.
Mujahid mengulas siri serbuan pihak berkuasa agama di Selangor dan Johor ke atas pengikut Syiah sejak Jumaat lalu, menjelang hari kebesaran mereka Hari Asyura awal minggu ini.
Mujahid bagaimanapun menegaskan kerajaan menghormati tindakan pihak berkuasa agama negeri yang beliau difahamkan dibuat mengikut prosedur operasi standard dan sesuai dengan bidang kuasa negeri.
Mengulas kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai tindakan ke atas golongan minoriti pengikut Syiah, Mujahid memberi jaminan kerajaan tetap berpegang pada hak dan kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Saya nak bagi jaminan dalam Perlembagaan Artikel 3, Islam agama Persekutuan (rasmi), kebebasan hak beragama bukan Islam dalam Artikel 11 walaupun terhad tapi ia jadi perimeter memastikan tidak mencerobohi hak kebebasan (beragama),” katanya.
Selasa lalu, Suhakam mengkritik tindakan pihak berkuasa agama negeri dan mengingatkan akan hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Kata Suhakam, hak itu perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.
Pengikut Syiah seringkali menjadi sasaran menjelang sambutan Hari Asyura pada 10 Muharam seperti serbuan yang dijalankan di sekitar Johor dan Selangor dalam tempoh seminggu lalu. – 13 September, 2019.
Komen