TEMPOH hukuman penjara diterima oleh seorang pemuda dari Sarawak berusia 22 tahun yang dikenakan penjara 10 tahun dan denda RM50,000 kerana menghina Nabi Muhammad dalam catatan Facebook peribadinya, dikurangkan kepada enam tahun hari ini.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan denda RM50,000 itu kekal dan Alister Cogia, terpaksa menjalani hukuman tambahan selama enam tahun jika gagal membayarnya.
Hakim Azahari Kamal Ramli dalam membenarkan permohonan semakan hukuman, memutuskan Mahkamah Sesyen yang membuat keputusan hukuman penjara 10 tahun pada Mac “menyalaharahkan” hukuman Cogia.
Cogia, dari Kampung Segong di Singai, Bau, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan terhadapnya bagi beberapa siri hantaran jelik yang dibuat pada Februari.
Pemuda, yang menurut ibunya mempunyai masalah kesihatan mental, tidak diwakili ketika itu.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua tahun penjara bagi setiap pertuduhan dan juga mengarahkan hukuman dijalankan secara berasingan.
Cogia, yang nama pengguna di Facebook adalah “Ayea Yea”, didakwa menyebabkan perpecahan perpaduan atas dasar agama di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung komen jelik dalam talian.
Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal mengatakan hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan waktu ketika kesalahan itu dilakukan semasa menjatuhkan hukuman.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan dalam beberapa minit antara satu sama lain sementara dua lagi dilakukan pada hari yang berasingan.
Bagaimanapun peguam Cogia, Francis Teron dan Desmond Kho gagal mendapatkan semakan lanjut berdasarkan keadaan mental anak guam mereka.
Teron dan Kho berhujah Cogia mungkin mengalami masalah psikiatri kerana menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan oleh itu, mereka meragui sama ada beliau memahami graviti pertuduhan dan signifikan pengakuan salahnya.
Hakim bagaimanapun, bergantung kepada laporan psikiatri yang menyatakan kesihatan mental Cogia adalah normal dan tidak mengalami sebarang masalah mental serta berada dalam keadaan baik untuk dibicarakan.
Bagaimanapun, laporan itu mencadangkan mencadangkan Cogia menjalani rawatan psikoterapi untuk pengurusan kemarahan dan bagi memperbaiki fungsi pelarasan sosialnya.
Cogia menjalani penilaian psikiatri di hospital Sentosa selepas Mahkamah Tinggi membuat perintah itu pada 13 Mac. – 13 September, 2019.
Komen