Mahkamah Peru kurangkan hukuman penjara pemimpin pembangkang


Keiko Fujimori pada Oktober tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 33 bulan atas kesalahan menerima rasuah daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht. – Gambar AFP, 13 September, 2019.

MAHKAMAH Agung Peru semalam memendekkan hukuman penjara Keiko Fujimori, membolehkan pemimpin pembangkang itu bebas pada April depan.

Keiko, 44, pada Oktober tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 33 bulan atas kesalahan menerima rasuah daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht. Beliau ditahan di sebuah penjara wanita di Lima, Peru.

Peguamnya berkata Keiko akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu di mahkamah perlembagaan supaya dibebaskan segera.

Anak sulung bekas presiden Alberto Fujimori itu dituduh menerima dana haram AS$1.2 juta (RM5 juta) dari Odebrecht untuk aprtinya semasa kempen pilihan raya 2011.

Keputusan mahkamah semalam membolehkan Keiko sekali lagi bertanding untuk pilihan raya presiden yang dijadual diadakan pada 2021. Keiko sebelum ini dua kali menjadi calon presiden.

Bagaimanapun, Presiden Martin Vizcarra baru-baru ini mahu pilihan raya dipercepatkan kepada April tahun depan.

Hasil tinjauan mendapati sokongan terhadap Keiko menyusut 9% sejak dipalit skandal rasuah. – AFP, 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen