Asean akan mudahkan perjalanan darat rentas negara ahli


Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Pemudahan Pengangkutan Penumpang Rentas Sempadan Oleh Kenderaan Darat membolehkan beribu-ribu bas menikmati proses kemasukan dan transit yang lancar bagi ke negara Asean lain. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2017.

PERJANJIAN Rangka Kerja Asean bagi Pemudahan Pengangkutan Penumpang Rentas Sempadan Oleh Kenderaan Darat (CBTP) akan ditandatangani esok oleh 10 negara anggota, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

Beliau berkata, CBTP akan memudahkan syarat perkhidmatan pengangkutan bas rentas sempadan dalam Asean dan membolehkan beribu-ribu bas menikmati proses kemasukan dan transit yang lancar bagi ke negara Asean lain.

“Ini memberi petanda jelas kepada komuniti antarabangsa bahawa Asean komited untuk menggalakkan ekonomi terbuka dan bersepadu, dan akan meliberalisasikan lagi perdagangan untuk manfaat seluruh penduduk Asean,” katanya semasa pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Asean (ATM) ke-23 di Singapura, hari ini.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai turut menghadiri mesyuarat dua hari itu.

Teo berkata sektor pengangkutan merupakan pemboleh utama dan penting bagi aliran perdagangan dan pelancongan selain memperkukuhkan kemajuan, pembangunan ekonomi dan hubung antara penduduk Asean.

Beliau berkata, pada tahun lepas Asean menerima 116 juta pengunjung antarabangsa –hampir separuh atau 43% daripada mereka adalah dari negara Asean.

“Kita boleh mengharapkan pengangkutan akan berperanan lebih penting, seiring peningkatan aliran perdagangan dan pelancongan, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kelas pertengahan yang berkembang pantas,” katanya.

Bagi mengupayakan lagi pertumbuhan Asean, Teo berkata perkumpulan itu perlu berusaha ke arah mencapai visinya sebagai Asean yang giat, cekap dan bersepadu dengan baik.

Hasil daripada itu, katanya, akan membuka peluang baharu, mempertingkatkan akses pasaran oleh syarikat dan membolehkan aliran penduduk, perdagangan dan perniagaan secara lebih bebas dalam dan luar Asean.

Teo menjelaskan bahawa Asean kini merupakan pasaran luas dengan jumlah penduduk lebih 620 juta orang.

“Keluaran Dalam Negara Kasar gabungan kita adalah lebih AS$2.5 trilion dan Asean diunjurkan menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050,” katanya.

Singapura menjadi tuan rumah Mesyuarat ATM dan mesyuarat berkaitan, dengan Rakan Dialog Asean iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, mulai hari ini, untuk membincangkan kerjasama dan usaha serantau mengenai pengangkutan udara, maritim dan darat, serta pemudahan pengangkutan, yang akan menyokong kesalinghubungan dalam rantau ini.

Semua mesyuarat itu akan berlangsung dalam suasana ulang tahun ke-50 Asean, manakala Singapura akan berperanan semula sebagai pengerusi Asean pada 2018.

Selain CBTP, menteri pengangkutan Asean dijangka memeterai dan menerima pakai beberapa perjanjian esok, yang akan meliberalisasikan lagi perkhidmatan udara di rantau ini dan menambah baik keselamatan dan kecekapan perjalanan udara dalam dan luar Asean.

Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah Mesyuarat ATM dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan Asean adalah pada 2007, berasaskan giliran sebagai tuan rumah dalam kalangan ahli Asean. – Bernama, 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen