45 sekolah di Selangor, Pahang ditutup kerana jerebu


Noel Achariam

Kementerian Pendidikan dalam pekelilingnya memaklumkan mana-mana sekolah di kawasan dengan bacaan API melebihi 200 akan ditutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2019.

BILANGAN kawasan yang terjejas oleh bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada 25 daerah di seluruh negara pada jam 10 pagi hari ini, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ini juga memaksa kerajaan menutup 45 sekolah. Pahang mengarahkan 26 sekolah ditutup manakala Selangor sebanyak 19.

Kementerian Pendidikan dalam pekeliling memaklumkan mana-mana sekolah di kawasan dengan bacaan API melebihi 200 akan ditutup.

Semalam, daerah yang terjejas menurun kepada 16 kawasan pada pukul 7 malam berbanding 22 kawasan pada Rabu.

Kerajaan Selangor akan menjalankan pembenihan awan hari ini di kawasan yang mempunyai IPU 200 dan ke atas.

Turut dilaporkan, kerajaan sedang menjalankan pembenihan awan di Sarawak.

Mereka juga berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga diaktifkan di daerah yang mempunyai IPU 151 hingga 200 bagi tempoh lebih 24 jam.

Kerajaan negeri akan membekalkan “dust mask” kepada orang ramai.

Johan Setia di Klang kekal sebagai satu-satunya daerah dengan IPU “sangat tidak sihat” dengan bacaan sebanyak 209.

Sejak semalam, sekolah di daerah itu diarahkan ditutup.

Kawasan yang terus terjejas di Kuala Lumpur adalah Batu Muda dengan bacaan IPU 152, Cheras (144), Putrajaya (140), Petaling Jaya (139) dan Shah Alam (135).

Di Pulau Pinang, bacaan IPU Minden adalah 113, manakala Seri Manjung, Perak adalah 124, di Nilai, Seremban  (126), bandar Melaka (105).

Sementara di Sungai Petani bacaan 109; Tangkak adalah 133 dan Rompin adalah 161.

Bacaan IPU 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan 300 dan ke atas (berbahaya). – 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen