MAHKAMAH Perancis pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan yang ditangguhkan kepada kakak putera mahkota Arab Saudi berhubung kes pukul seorang pekerja di kediaman mewah di Paris pada 2016.
Hassa binti Salman, anak perempuan Raja Salman dan saudara perempuan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dituduh dengan mengarahkan pengawalnya untuk memukul seorang tukang paip.
Diadili secara absentia atau tanpa hadir di perbicaraan dan menerima sasaran waran tangkap sejak Disember 2017, beliau juga diperintahkan oleh mahkamah Paris membayar denda sebanyak 10,000 euro (AS$11,000).
Puteri Hassa, 42, tidak pernah hadir pada perbicaraan itu, yang berlangsung pada Julai.
Hukuman itu lebih berat daripada yang dituntut oleh pendakwa raya, yang memohon hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan dan denda 5,000 euro (AS$5,480).
Puteri raja itu dituduh mengarahkan pengawalnya, Rani Saidi memukul Ashraf Eid selepas melihat beliau mengambil gambar di dalam rumah pada September 2016.
Puteri Hassa dituduh bersubahat dalam perbuatan keganasan, bersubahat dalam pengurungan secara paksa dan bersubahat perbuatan mencuri.
Saidi, yang merupakan satu-satunya protagonis dalam kes yang hadir di mahkamah, dikenakan hukuman penjara lapan bulan yang ditangguhkan dan denda 5,000 euro, sebagaimana cadangan pendakwa raya.
Ketika kejadian, Eid bekerja di tingkat tujuh blok pangsapuri mewah milik keluarga diraja Arab Saudi di Avenue Foch, destinasi popular bagi golongan kaya asing di Paris.
Tukang paip itu dipanggil ke tingkat lima untuk membaiki sinki yang rosak.
Menurut penyiast, Eid berkata dia mengambil gambar bilik air di kediaman puteri itu untuk kerja-kerja pembaikan.
Eid mendakwa Puteri Hassa berang apabila melihat pantulan imejnya pada cermin dirakam kamera Eid.
Puteri itu segera memanggil pengawal peribadinya dan memukul Eid. Dia juga mendakwa diikat dan diarahkan mencium kaki Puteri Hassa.
Tukang paip itu mendakwa dia dibenarkan meninggalkan pangsapuri itu beberapa jam kemudian selain telefonnya dipecahkan dan puteri itu menjerit: “Bunuh dia, anjing itu, dia tidak layak untuk hidup.
Kes itu adalah tamparan terbaru kepada imej kerajaan, di mana Putera Mohammed mencetuskan harapan pembaharuan sosial dan ekonomi utama apabila diisytihar sebagai putera mahkota pada 2017.
Tetapi reputasinya rosak teruk berhubung pembunuhan seorang penulis pembangkang Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul tahun lalu, dan beliau juga dilihat sebagai kuasa dalam campur tangan tentera Arab Saudi di Yaman, di mana puluhan ribu orang meninggal dunia. – AFP, 13 September, 2019.
Komen