Laporan awal dedahkan kru tidur ketika bot di California terbakar


Dalam laporan awal mengenai kebakaran 2 September - bencana maritim paling buruk dalam sejarah California moden - agensi itu berkata lima anak kapal sedang tidur di dek atas di bahagian kemudi dan seorang di kabin. – Gambar EPA, 13 September, 2019.

KESEMUA enam anak kapal sedang tidur ketika kebakaran bot penyelam skuba yang berlaku di California minggu lalu, mengorbankan 34 nyawa, kata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional pada Khamis.

Dalam laporan awal mengenai kebakaran 2 September - bencana maritim paling buruk dalam sejarah California moden - agensi itu berkata lima anak kapal sedang tidur di dek atas di bahagian kemudi dan seorang di kabin.

Di bawah undang-undang persekutuan, bot bernama Conception itu diwajibkan mempunyai seorang pengawal malam yang berjaga dan mampu memberi amaran kepada orang lain sekiranya berlaku kebakaran atau kecelakaan lain, kata ahli lembaga NTSB Jennifer Homendy memberitahu Los Angeles Times.

Laporan awal itu berkata salah seorang anggota krew sempat membunyikan penggera selepas terbangun susulan bunyi sekitar jam 3.15 pagi dan melihat api.

“Ketika krew bangun, kapten radio memberi mesej bantuan kepada Pengawal Pantai,” kata laporan itu.

Tambahnya, lima anggota krew cuba untuk menyelamatkan 33 penumpang dan seorang anggota kru yang tidur di dek bawah tetapi melompat ke dalam air selepas mereka tidak dapat membuka tingkap depan dan diliputi oleh asap.

Dua anggota krew dan kapten kemudian berenang ke bahagian buritan bot dan menaiki semua bot tetapi tidak dapat mengakses 34 mangsa.

Api marak menyukarkan anggota bomba menaiki bot yang tenggelam ketika mereka cuba memadamkan api.

Bot malang itu sedang berlayar sekitar pulau Santa Cruz, barat Santa Barbara di selatan California.

Punca kebakaran masih belum diketahui dan wawancara awal beberapa anggota kru mendedahkan tiada masalah mekanikal atau elektrik di atas kapal itu, kata laporan NTSB.

Operasi sedang dijalankan untuk menaikkan bangkai bot untuk pemeriksaan dan siasatan itu akan meneliti peraturan bagi kapal seperti itu serta sistem amaran, laluan pemindahan dan latihan. – AFP, 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen