Hormati Ramadan, tarikh bicara penembak masjid New Zealand diubah


Brenton Tarrant dituduh melakukan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch pada Mac lalu menyebabkan 51 jemaah maut. – Gambar AFP, 12 September, 2019.

MAHKAMAH Tinggi New Zealand hari ini mengubah tarikh perbicaraan terhadap pengganas kulit putih yang dituduh membunuh 51 jemaah di dua masjid di Christchurch supaya ia tidak bertembung dengan bulan Ramadan.

Perbicaraan terhadap tertuduh Brenton Tarrant dijadualkan pada 4 Mei, 2020, iaitu pada Ramadan.

Kenyataan dikeluarkan mahkamah berkata pihak pendakwa bimbang pertembungan itu akan menimbulkan masalah.

“Sebilangan saksi yang akan dipanggil ketika perbicaraan beragama Islam,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata tarikh permulaan perbicaraan baharu iaitu 2 Jun sudah disahkan selepas peguam tertuduh tidak membantah.

Mahkamah dijadualkan mengadakan sesi pendengaran ringkas pada 3 Oktober, apabila ia dijangka membuat keputusan berdasarkan permintaan peguam untuk memindahkan lokasi perbicaraan dari Christchurch.

Bandar raya itu menjadi lokasi insiden kes tembakan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand pada 15 Mac lalu, apabila Tarrant melepaskan tembakan rambang di dua masjid sambil menyiarkan perbuatan jenayah itu secara langsung di media sosial.

Pelampau kulit putih itu dituduh dengan 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan terbabit dalam tindakan pengganas. – AFP, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen