Kenyataan Netanyahu, OIC adakan sidang tergempar Ahad ini


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan mahu mengilhakkan Lembah Jordan sebagai wilayah Israel, lapor Kesatuan Agensi Berita Negara-negara Anggota OIC (UNA-OIC). – Gambar EPA, 12 September, 2019.

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan sidang tergempar peringkat menteri-menteri luar pada Ahad berhubung kenyataan kontroversi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mahu mengilhakkan Lembah Jordan sebagai wilayah Israel, lapor Kesatuan Agensi Berita Negara-negara Anggota OIC (UNA-OIC).

Mesyuarat yang akan diadakan di ibu pejabat OIC di Jeddah itu atas permintaan Arab Saudi, susulan kenyataan Netanyahu yang mahu mengilhakkan kawasan utara Laut Mati dan beberapa kawasan penempatan di Tebing Barat selain Lembah Jordan jika beliau memenangi semula pilihan raya negara itu yang dijadual pada 17 September. 

Mesyuarat berkenaan juga dijangka membincangkan mengenai langkah segera yang boleh diambil mengikut saluran diplomasi dan undang-undang sebagai tindak balas terhadap pendirian Israel itu. 

Sebelum mesyuarat peringkat menteri-menteri luar itu, mesyuarat persediaan peringkat pegawai-pegawai kanan OIC juga akan diadakan.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef A. Al-Othaimeen sebelum ini membidas kenyataan pemimpin Israel itu yang disifatkannya sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan akan membantutkan usaha antarabangsa mewujudkan keamanan jangka panjang sekaligus mencapai matlamat penyelesaian dua negara.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua negara dan pertubuhan antarabangsa supaya menolak dan mengutuk provokasi Israel serta meminta Israel menghentikan semua tindakan unilateralnya yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Al-Othaimeen anggota OIC perlu berpendirian tegas mengenai hak rakyat Palestin untuk mendapatkan semula negara mereka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara menurut ketetapan undang-undang antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab. – Bernama, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen