AMERIKA Syarikat (AS) merancang untuk melarang penjualan rokok elektronik (e-rokok) berperisa selepas enam orang maut, manakala 450 lagi dilaporkan dijangkiti penyakit paru-paru akibat menghisap rokok berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.
Satu dasar mengenai perkara itu akan digubal Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dalam waktu terdekat, bertujuan mengekang penjualan e-rokok berperisa yang dijual secara haram menurut kenyataan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia (HHS) pada Rabu.
“Langkah itu jelas menunjukkan pentadbiran Trump mahu menghapuskan pasaran e-rokok berperisa yang dilihat boleh memberi kesan kepada kanak-kanak, keluarga, sekolah dan komuniti,” kata Setiausaha HHS Alex Azar.
Syarikat pengeluar seperti Juul dikritik kerana cuba menarik pengguna di kalangan remaja dan kanak-kanak dengan memperkenalkan e-rokok perisa buah-buahan.
Sejumlah lima juta kanak-kanak menggunakan produk e-rokok, kata Azar.
Data awal menunjukkan lebih seperempat pelajar sekolah menengah di AS merupakan pengguna e-rokok dan perisa buah-buahan, mentol atau pudina menjadi pilihan paling popular.
Sehingga 6 September Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS telah menerima lebih 450 kes penyakit paru-paru, melibatkan pengguna e-rokok berperisa yang dilaporkan di 33 buah negeri. – Bernama, 12 September, 2019.
Komen