Polis Rusia serbu rumah, pejabat pembangkang


Polis Rusia hari ini menyerbu berpuluh-puluh pejabat kumpulan pembangkang yang menjadi penggerak protes besar-besaran pada musim panas ini dan rumah penyokongnya. – Gambar EPA, 12 September, 2019.

POLIS Rusia hari ini menyerbu berpuluh-puluh pejabat kumpulan pembangkang yang menjadi penggerak protes besar-besaran pada musim panas ini dan rumah penyokongnya, kata aktivis.

Leonid Volkov, pegawai yang rapat dengan ketua pemimpin pembangkang Alexei Navalny berkata polis menggeledah lebih 80 premis di 29 bandar.

“Ia bukan hanya pejabat dan pangsapuri koordinator tetapi rumah pekerja dan sukarelawan,” katanya di Twitter.

“Serbuan ini tindakan intimidasi,” kata jurucakap Kira Yarmysh, menuduh pihak berkuasa cuba menangani protes itu dengan mengenakan tindakan terhadap organisasi berkenaan.

“Matlamat polis ialah merampas bahan kami dan melumpuhkan kerja kami,” katanya.

Serbuan itu dibuat selepas penyiasat Rusia bulan lalu melancarkan siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Yayasan Menentang Rasuah Navalny (FBK), yang berfungsi untuk mendedahkan kekayaan pegawai kerajaan yang dirasakan tidak munasabah.

Mereka juga mengikuti pilihan raya tempatan di Moscow pada Ahad lalu di mana sekutu Presiden Vladimir Putin mengalami kekalahan besar selepas polis melakukan keganasan terhadap penunjuk perasaan pada protes sepanjang musim panas.

Navalny dan penyokong menganjurkan protes itu selepas calon pembangkang dilarang daripada menyertai pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Moscow. – AFP, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen