PENINDASAN dan penguatkuasaan ke atas pengikut Syiah merupakan salah satu tindakan oleh daulah terpendam dalam negara, kata seorang pengikutnya Dr Ahmad Farouk Musa.
Pemimpin badan pemikir Islamic Renaissance Front itu berkata, tindakan itu turut mensabotaj usaha membentuk hubungan baik dengan negara majoriti Syiah seperti Iran, katanya.
Beliau memberi contoh, kes serbuan pihak berkuasa agama dalam satu acara yang dihadiri seorang diplomat budaya Iran.
Ia akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara yang sedang dipereratkan melalui kunjungan rasmi Dr Mahathir Mohamad pada bulan hadapan, kata kepada The Malaysian Insight.
“... Kerajaan baru cuba mewujudkan hubungan ekonomi dan kebudayaan yang lebih baik dengan negara Islam lain seperti Iran, melalui lawatan Dr Mahathir akan datang.
“(Namun) daulah terpendam pada masa sama cuba mensabotaj dan memecah belahkan apa sahaja rancangan untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk kita,” katanya lagi.
Jelasnya pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak sepatutnya bertindak seolah-olah mendapat kuasa kurniaan tuhan.
“Jais dan daulah terpendam antara birokrat agama merasakan tuhan kurniakan negara ini kepada mereka, manakala orang lain perlu mengikuti Islam versi mereka untuk tinggal di dalam negara ini,” katanya.
Katanya, tindakan ala mafia oleh pegawai-pegawai Jais terhadap kumpulan minoriti agama itu tidak mencerminkan imej Malaysia sebagai sebuah negara sederhana, seperti yang diuar-uarkan.
“Di mata dunia, negara ini sebaris dengan negara autokratik yang tidak menghormati kepelbagaian,” katanya lagi.

Seorang lagi pememerhati yang mengkritik tindakan ke atas pengikut Syiah itu, Syazreen Abdullah berpendapat tindakan berterusan terhadap minoriti agama ini juga menyebabkan syariah agama di negara ini kekal mundur.
Penulis buku Berdialog dengan al-Quran itu berkata ia menunjukkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan saling tidak tumpah seperti pemerintahan Barisan Nasional.
Beliau juga berpendapat pemerintah dan pihak berkuasa agama juga menggunakan kuasa semata-mata tanpa pendidikan keagamaan yang tulen.
“Kebebasan menganuti fahaman berbeza terus diancam dan ditindas, kelompok majoriti asatizah, Ikram, Amanah, dan mufti tidak boleh diharap dalam membawa sinar keagamaan.
“Pemerintahan pula galak menyuap kebodohan kepada Melayu, Islam dengan indoktrinasi dogma kejumudan beragama,” katanya.
Beliau yakin masa depan bagi umat Islam untuk beragama kekal gelap dalam pentadbiran kerajaan baharu sekiranya penindasan itu berterusan.
“Kediktatoran penguasa dan agamawan jumud terus berkuasa mengamalkan sikap menindas, pendidikan dan sikap beragama gagal melahirkan masyarakat beragama yang kritis,” tambahnya.
Tekanan dan penguatkuasaan berterusan oleh jabatan agama menyebabkan kumpulan penganut Syiah kini melakukan ibadat berjemaah secara rahsia di negara ini bagi mengelak ditangkap.
Pengikut fahaman itu memberitahu The Malaysian Insight, ibadat keagamaan mereka kini hanya dapat dijalankan secara berkumpulan di rumah-rumah kedai tertentu.
“Majoriti komuniti Syiah ini takut. Aktiviti keagamaan disambut secara rahsia, mereka tidak dbenarkan membuat rumah ibadah.
“Mereka buat amalan agama secara tak rasmi di rumah atau rumah kedai dan sebagainya,” kata seorang penganut Syiah yang enggan dikenali.
Komuniti Syiah seringkali menjadi sasaran menjelang sambutan Hari Asyura, atau hari ke-10 bulan Islam, Muharam seperti serbuan yang dijalankan di sekitar Johor dan Selangor pada malam tadi.
Di Kempas, Johor, lapan orang dilaporkan ditahan sewaktu sambutan Hari Asyura bagi memperingati ulang tahun kematian tokoh utama Syiah, Husayn Ali.
Upacara memperingati cucu kepada Nabi Muhammad itu digempur tidak kurang 20 pegawai dan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Johor.
Tiga orang daripada lapan yang ditahan terdiri daripada seorang rakyat Yaman dan dua rakyat Singapura.
Kesemuanya disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana melanggar titah sultan, dan arahan mufti serta fatwa yang membawa hukuman denda RM3,000 dan penjara setahun.
Fahaman berkenaan dianggap menyimpang oleh pentadbir agama negara ini yang mengikut fahaman sunnah.

Di Bandar Sunway, Petaling beberapa warga Pakistan dilaporkan dtangkap pihak berkuasa agama Selangor sewaktu menyertai majlis serupa.
Jemaah ketika itu sedang berkumpul di sebuah rumah kedai untuk memperingati kematian Husayn dalam Perang Karbala menjelang Hari Asyura.
Pada minggu lalu 23 orang ditahan dalam serbuan ke atas pusat kegiatan agama Syiah di Gombak. Antaranya adalah Pengerusi Syiah Malaysia Kamil Zuhairi Abdul Azizi.
Katanya, mereka kini tidak berani menonjolkan diri untuk melakukan amalan secara terbuka kerana bimbang dengan ancaman sekeliling akibat fitnah ke atas pengikut fahaman itu.
“Fahaman Syiah di Malaysia ini difitnah, dikecam dan sebagainya. Ini menyebabkan segelintir pengikut tidak tonjolkan diri, tidak tampil sebagai Syiah, tapi dalam hati mereka Syiah,” katanya.
Namun, Kamil Zuhairi berkata, mereka tidak akan sesekali menghentikan amalan yang dilakukan sejak sekian lama walaupun berhadapan tekanan daripada pihak berkuasa agama sejak saban tahun.
Beliau menganggarkan jumlah pengikut fahaman tersebut di negara ini berjumlah 50,000 hingga 200,000 orang.
Jelasnya, amalan mereka sama sahaja seperti umat Islam lain seperti dalam melakukan solat, membaca al-Quran dan berpuasa.
“Cumanya fahaman kami, kita utamakan keturunan Nabi Muhammad atau disebut sebagai Ahlul Bait,” kata Kamil Zuhairi lagi.
Beliau menganggap tindakan pihak berkuasa sebagai halangan untuk beribadat dan berikrar akan meneruskan amalan mengikut fahaman itu selagi tidak menyimpang daripada anjuran ulamanya.
“Orang yang menghalangnya ibarat menghalang tuntutan agama, sedangkan agamanya ini Islam, cuma sekolahnya lain.
“Upacara keagamaan ini tuntutan agama, mana boleh kita hentikan. Ini hak asasi manusia, hak asasi beragama, kita buat sesuatu yang tidak mengganggu orang lain.
“Lainlah kalau kita keluar ke bangunan-bangunan dan jalanan, dan berdarah-berdarah, itu memang kena halanglah, kami pun tak setuju. Ulama arus perdana Syiah pun menghalangnya,” katanya lagi.
Tindakan pengikut berarak dalam keadaan berdarah-darah akibat mencederakan diri itu adalah amalan pihak yang melakonkan semula peristiwa Karbala, jelas seorang pengikut Syiah.
“Ada yang buat pementasan semula, yang ekstrem itu sampai berdarah, pukul badan,” katanya lagi.
Katanya amalan seperti itu masih berleluasa di negara dengan populasi pengikut Syiah yang ramai walaupun sudah diharamkan oleh pemimpin Syiah.
“Ulama Syiah sudah haramkan perkara itu, hanya segelintir sahaja yang buat. Di Malaysia majoriti ikut ulama Ayatullah Khomeni, dia tak benarkan pukul badan sampai berdarah.
“Di Malaysia kita tak buat macam itu, banyaknya hanya menceritakan kisah itu semula, melalui ceramah,” katanya.
Sikap agresif pihak berkuasa agama dalam mengekang fahaman itu dapat dilihat dalam khutbah Jumaat negeri Selangor minggu lalu mengenai penularan fahaman tersebut dalam negara.
Ia turut mendakwa fahaman Syiah menyusup melalui pusat pengajian tinggi, syarikat umrah, pusat tuisyen, kelas bimbingan al-Quran, buku kanak-kanak, novel, komik dan berbagai lagi kaedah lain.
Selangor mewartakan fatwa mengenai Syiah sebagai menyeleweng pada 1989 dan 2013. – 12 September, 2019.
Komen