Keputusan kes puteri Arab Saudi di Perancis hari ini


MAHKAMAH Perancis hari ini akan menentukan sama ada kakak kepada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman bersalah dalam kes pukul seorang pekerja di pangsapuri mewahnya di Paris.

Hassa binti Salman, 42, dituduh mengarahkan pengawal peribadinya, Rani Saidi memukul tukang paip, Ashraf Eid selepas mendapati lelaki itu mengambil gambar di dalam pangsapurinya pada September 2016.

Pendakwa raya memohon kepada mahkamah supaya puteri raja yang dibicarakan pada Julai itu dikenakan penangguhan hukuman penjara enam bulan kerana bersubahat dalam perbuatan keganasan, bersubahat dalam pengurungan secara paksa dan bersubahat perbuatan mencuri.

Saidi didakwa atas kesalahan keganasan, kecurian dan pengurungan secara paksa.

Pendakwa raya mencadangkan penangguhan hukuman lapan bulan terhadap Saidi dan denda 5,000 euro masing-masing terhadap pengawal peribadi itu dan Puteri Hassa.

Ketika kejadian, Eid bekerja di tingkat tujuh blok pangsapuri mewah milik keluarga diraja Arab Saudi di Avenue Foch, destinasi popular bagi golongan kaya asing di Paris.

Tukang paip itu dipanggil ke tingkat lima untuk membaiki sinki yang rosak.

Menurut penyiasta, Eid berkata dia mengambil gambar bilik air di kediaman puteri itu untuk kerja-kerja  pembaikan.

Dia mendakwa Puteri Hassa berang pantulan imejnya pada cermin dirakam kamera Eid. Puteri itu segera memanggil pengawal peribadinya dan memukul Eid. Dia juga mendakwa diikat dan diarahkan mencium kaki Puteri Hassa.

Tukang paip itu mendakwa dia dibenarkan meninggalkan pangsapuri itu beberapa jam kemudian selain telefonnya dipecahkan dan puteri itu menjerit: “Bunuh dia, anjing itu, dia tidak layak untuk hidup.” – AFP, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen