WARGA Jakarta mengundi hari ini bagi memilih gabenor, dalam pertandingan sengit antara penyandangnya beragama Kristian yang sedang berdepan perbicaraan tuduhan menghina Al-Quran, dengan bekas menteri beragama Islam.
Basuki Tjahaja Purnama atau popular dengan panggilan Ahok bertanding melawan Anies Baswedan juga seorang ahli akademik, bagi jawatan yang bakal menerajui ibu kota dengan populasi 10 juta orang itu.
Ahok yang menjadi gabenor bukan Islam pertama bagi Jakarta sejak setengah abad lalu dan pemimpin pertama berketurunan Cina, menang pusingan pertama pada Februari tetapi jumlahnya tidak cukup besar.
Pertandingan itu sangat penting kerana ahli politik melihat jawatan berkenaan sebagai batu loncatan untuk bertanding dalam pemilihan perdana menteri pada pilihan raya umum 2019.
Ahok baru-baru ini dituduh menghina Al-Quran hingga menyebabkan ratusan ribu konservatif Islam berdemonstrasi di jalanan di Jakarta, dan akhirnya menyeret Ahok ke mahkamah untuk dibicarakan.
Selepas membuang undi di pusat mengundi di utara Jakarta, Ahok berkata pilihan raya hari ini akan menentukan masa depan Jakarta dan askar serta polis menjamin keselamatan semua, jadi jangan takut untuk keluar mengundi.
Pusat mengundi dibuka dari 7 pagi hingga 1 tengah hari dengan lebih 7.2 juta pengundi berdaftar.
Selepas protes besar-besaran anti Ahok tahun lalu bertukar menjadi ganas, pihak berkuasa menempatkan 60,000 pasukan keselamatan untuk berkawal hari ini. – AFP, 19 April, 2017.
Komen