BJ Habibie dikebumi selepas Zohor


Jenazah bekas presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie diusung oleh anggota tentera dari Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto malam tadi untuk dibawa ke kediamannya. – Gambar EPA, 12 September, 2019.

JENAZAH bekas presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie akan dikebumikan dengan penuh istiadat sebagai pahlawan negara dalam proses pemakaman pahlawan yang bermula pukul 12.30 tengah hari waktu Indonesia (1.30 petang waktu Malaysia).

Proses berkenaan akan dimulakan dengan upacara penyerahan jenazah dari pihak keluarga kepada kerajaan yang diwakilkan oleh Ketua Mahkamah Perlembagaan, Anwar Usman, lapor media.

Jenazah selepas itu akan dibawa dari kediaman keluarga Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta Selatan.

“Diharapkan (upacara penyerahan jenazah) 30 minit selesai kemudian jam 1 petang tepat kita mula dari kediaman di Patra Kuningan menuju ke Taman Makam Pahlawan Kalibata,” kata setiausaha sulit Habibie, Rubijanto, seperti dipetik Kompas.com.

Upacara pemakaman akan diketuai Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Pada upacara itu, Malaysia akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang berlepas ke Jakarta pukul 10.30 pagi tadi.

Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mengaku banyak belajar soal reformasi daripada Habibie bagaimanapun tidak hadir mengikut isteri kerana pada masa ini masih ada urusan di Hong Kong, kata pegawainya di Kuala Lumpur.

Habibie, 83, yang meninggal dunia petang semalam kerana sakit tua, akan dimakamkan di sisi kubur isterinya Hasri Ainun Beseri yang meninggal dunia pada 2010.

Sementara itu, CCN Indonesia melaporkan Taman Makam Pahlawan Kalibatan sudah mula dibanjiri orang ramai sejak awal pagi tadi.

Pihak berkuasa polis dan tentera juga sudah mempersiapkan kawalan keselamatan sejak awal menjelang upacara pemakaman hari ini.

Habibie menjadi presiden menggantikan menggantikan Suharto, yang letak jawatan selepas 31 tahun memerintah, ketika Indonesia bergelut dengan krisis ekonomi dan kekacauan pada Mei 1998.

Beliau memegang jawatan tidak lama, hanya 17 bulan, tetapi meninggalkan legasi yang cukup besar kepada republik yang ketika itu sedang bertatih melangkah menuju demokrasi. – 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen