Pisau diguna untuk tikam Bolsonaro dipamer di muzium


Presiden Brazil Jair Bolsonaro ditikam dengan pisau semasa kempen pilihan raya 2018. – Gambar AFP, 12 September, 2019.

MAHKAMAH Brazil mengarahkan sebilah pisau yang digunakan untuk menikam Presiden Jair Bolsonaro semasa kempen pilihan raya 2018 dipamerkan di muzium polis.

Ini kerana pisau tersebut mempunyai “nilai sejarah”, kata hakim.

Mahkamah di Minas Gerais pada Selasa mengarahkan pisau itu diserah kepada muzium akademi polis di Brasilia, selepas ia dipohon oleh polis persekutuan.

“Tiada keraguan bahawa pisau yang digunakan untuk menikam presiden itu mempunyai nilai sejarah,” kata Hakim Bruno Savino.

Mahkamah juga mengarahkan swab mengandungi sampel biologi yang diambil dari Bolsonaro dan penyerangnya diserah kepada muzium.

Savino pada Jun mengarahkan Adelio Bispo de Oliveira yang menyerang Bolsonaro semasa kempen pilihan raya 6 September tahun lalu ditahan di hospital sakit jiwa.

Anak lelaki presiden itu, Senator Flavio Bolsonaro menulis di Instagram, menyamakan insiden yang dialami ayahnya itu dengan kejadian serangan pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) yang meragut nyawa hampir 3,000 orang.

“18 tahun lalu, serangan ke atas AS memberi kesan kepada seluruh dunia: serangan ke atas twin Towers. Setahun yang lalu, demokrasi Brazil diserang: @jairmessiasbolsonaro ditikam di tengah-tengah acara umum. Dua episod yang memberi kesan kepada masyarakat dan tercatat dalam sejarah.” – AFP, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen