Warga Nigeria mula tinggalkan Afrika Selatan


Sebuah pesawat membawa 189 warga Nigeria mendarat di Lagos, dengan sebahagian penumpang berdiri dan menyanyi lagu kebangsaan negara mereka sambil mengibarkan gambar kedai mereka dibakar. – Gambar AFP, 12 September, 2019.

HAMPIR 200 warga Nigeria dibawa keluar dari Afrika Selatan semalam susulan keganasan xenofobia yang melanda negara itu dan menegangkan hubungan dua negara.

Sebuah pesawat membawa 189 warga Nigeria mendarat di Lagos, dengan sebahagian penumpang berdiri dan menyanyi lagu kebangsaan negara mereka sambil mengibarkan gambar kedai mereka dibakar.

“Saya lari untuk selamatkan diri, mereka boleh bunuh saya,” kata Samson Aliyu, seorang penjual pakaian yang tinggal di Afrika Selatan sejak dua tahun lepas.

“Mereka bakar kedai saya, semua benda dibakar,” tambahnya.

Lebih 600 warga Nigeria lagi dijangka kembali dari Afrika Selatan minggu ini, kata kerajaan Nigeria.

“Kami menjangkakan 317 orang tetapi maklumat diterima hanya 189 naik pesawat,” kata Menteri Hal Ehwal Diaspora Nigeria Abike Dabiri-Erewa.

“Lima jam tertangguh disebabkan pihak berkuasa Afrika Selatan yang mengecewakan warga Nigeria yang mahu pulang ini,” katanya, menyalahkan pihak berkuasa di Johannesburg yang gagal membantu menyiapkan dokumen perjalanan warganya.

Johannesburg dan kawasan sekitarnya dilanda serangan ke atas warga asing sejak minggu lepas, kebanyakannya dituju kepada perniagaan dan hartanah milik warga Nigeria.

Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam keganasan itu dan ratusan kedai musnah dengan lebih 420 orang ditahan.

Tiada warga Nigeria terbunuh tetapi tragedi itu menimbulkan kecaman seluruh negara benua Afrika dan menegangkan hubungan diplomatik dua negara utama benua itu.

Keganasan itu juga menyebabkan serangan balas terhadap syarikat Afrika Selatan di Nigeria dan penutupan sementara pejabat diplomatik Afrika Selatan di Lagos dan Abuja. – AFP, 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen